Siddiq Fadzil
    Presiden Wadah  Pencerdasan Umat (WADAH)
    (Teks ucapan di  Konvensyen Pencerdasan Rakyat, di Dewan Kompleks Belia dan  Kebudayaan, Shah Alam, pada 9 Mac 2013).
    
    
     Pilihanraya  dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut  dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi "suara anjing menyalak  bukit", tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip  al-sha`b  masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya  akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak  demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.
Pilihanraya  dalam sistem demokrasi adalah hari kebesaran kuasa rakyat. Ia harus disambut  dengan semangat hormat terhadap suara rakyat, yang bukan lagi "suara anjing menyalak  bukit", tetapi suara berdaulat yang membawa kata putus, sebagai aktualisasi prinsip  al-sha`b  masdar al-sultah (rakyat adalah sumber kekuasaan). Tetapi pilihan raya hanya  akan benar-benar menjadi hari kuasa rakyat, apabila rakyat dapat menggunakan hak  demokratiknya dengan bebas dan cerdas, bijaksana dan penuh rasa tanggungjawab.     
    Dalam kaitan  inilah relevannya gerakan pencerdasan rakyat untuk memungkinkan mereka membuat  pertimbangan yang adil dan rasional, dan seterusnya menentukan pendirian dan  pilihan yang tepat. Dengan demikian barulah pilihan raya dapat menjadi mekanisme  demokrasi yang menghasilkan pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat.
    
    Demokrasi  dan Media
    
    Dalam era kekuasaan  media, rakyat seringkali tidak dapat melihat sesuatu dalam realiti seadanya.  Banyak negara yang masih mengamalkan pilihan raya, tetapi tidak mengamalkan  kebebasan media (freedom of the press), yang  diamalkan adalah kebebasan daripada media (freedom from the press) dalam  pengertian pemerintah yang bebas daripada kritik dan sorotan media. Media yang  telah kehilangan kebebasan dan diperburuk dengan kehilangan etika tidak lagi  mampu memaparkan kebenaran, tetapi lebih banyak bertindak sebagai alat  propaganda politik, termasuk menghitamkan yang putih dan memutihkan yang hitam.  
    
    Demikianlah  orientasi sebahagian media masa kini sehingga kita harus mengajak rakyat lebih  tekun berdo`a: Rabbana arina 'l-haqqa haqqan wa 'rzuqna 'ttiba`ah,  wa arina 'l-batila batilan wa 'rzuqna 'jtinabah (Ya Tuhan, perlihatkan  kami kebenaran itu nyata benarnya dan kurniakan kami keupayaan mengikutinya,  dan perlihatkan kami kebatilan itu nyata batilnya dan kurniakan kami keupayaan  menghindarinya). Kebebasan media adalah bahagian integral daripada demokrasi.  Kerana itu pilihan raya tanpa kebebasan media hanya akan menghasilkan pemerintahan  yang kehilangan legitimasi demokratik (democratic legitimacy).
    
    Sebagai image  maker media  selalu melakukan pencitraan palsu sehingga yang tampak bukan citra hakiki  sebuah parti, dan bukan wajah asli seseorang calon. Pemalsuan citra yang begitu  berleluasa, pasti akan mencederai demokrasi, kerana ia bererti menafikan hak  rakyat mendapatkan maklumat yang benar, lengkap dan seimbang tentang calon dan  parti yang bertanding. Bagaimana mungkin rakyat akan membuat pilihan yang tepat  jika sudah tertipu dengan pencitraan kosmetik media propaganda.
    
    Mengundi  Sebagai Kesaksian
    
    Dilihat dari  perspektif agama, mengundi dalam pilihan raya bukan sekadar hak, yang boleh  diterima dan boleh pula ditolak. Lebih daripada itu sebagaimana yang ditegaskan  oleh al-Shaykah Yusuf al-Qaradawiy, ia adalah kewajiban pelaksanaan kesaksian (shahadah) yang tidak  boleh ditolak apabila dipanggil, "…Dan janganlah saksi-saksi itu  menolak apabila dipanggil. …" -- al-Baqarah:282. Tidak keluar  mengundi bererti menyembunyikan kesaksian (katm al-shahadah), suatu  kesalahan berat yang dicela dalam al-Qur'an, "…Dan  janganlah kamu menyembunyikan kesaksian, kerana barangsiapa menyembunyikannya,  sungguh, hatinya kotor (berdosa)…" --- al- Baqarah: 283. 
    
    Kesaksian dalam  konteks pilihan raya bererti pernyataan sikap dan penilaian yang jujur terhadap  kelayakan seseorang calon dan partinya, berdasarkan kriteria asas: qawiyyun  amin (kuat  dan dapat dipercaya) dan hafizun `alim (berintegriti moral dan berkompetensi  intelektual). Kerana itu yang harus layak bukan hanya calon dan parti, tetapi  juga pengundi-pengundinya yang harus memenuhi syarat kesaksian yang terumus  pada kata al-`adl  (keadilan),  "…dan  persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu…" -- al-Talaq:2.  Kesaksian  adalah amanah. Mengundi parti atau calon yang tidak layak adalah penghkhianatan  terhadap amanah yang menepati istilah qawla 'zur (kesaksian  palsu) dalam al-Qur'an. Memberikan kesaksian palsu adalah dosa berat yang  digandingkan dengan syirik sebagaimana yang firmankan oleh Allah s.w.t., "…,maka  jauhilah (penyembahan) berhala-berhala yang najis itu dan jauhilah perkataan  dusta."  -- al-Hajj:30.  
    
    Ternyata  mengundi dalam pilihan raya tidak hanya memerlukan kefahaman serba-serbi  tentang demokrasi, tetapi juga kesedaran tanggungjawab moral. Justeru,  kesaksian harus dilaksanakan dengan jujur, semata-mata kerana Allah, bukan  kerana kepentingan diri, kaum kerabat dan suku-sakat, "…dan  hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah." --. al-Talaq:2.  Untuk  memungkinkan rakyat melaksanakan tanggungjawab kesaksiannya dalam pilihan raya,  mereka tidak boleh naïf -- tidak mengerti bahasa politik, tidak mampu memahami  sepak teranjang serta simpang-siur politik, dan tidak dapat mengenal mana wajah  asli dan mana wajah hiasan citra kosmetik. Ranah politik memang banyak jebakan  dan jerangkap samarnya, ada angguk yang bererti tidak, ada geleng yang bermakna  ia, dan banyak sumpah yang mengandung fitnah.
    
    Demokrasi hanya  akan sihat dan subur di tengah rakyat yang sedar, cerdas, jujur dan enlightened.  Demokrasi  akan mati dalam orientasi politik ke-fir`aun-an yang mengekalkan kekuasaan  dengan strategi pembodohan rakyat, "(Dengan yang demikian) maka  Fir`aun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka  itu adalah kaum yang fasiq – derhaka.." -- al-Zukhruf:54.  Rakyat  yang telah lama diperbodoh tidak lagi mampu membezakan keadilan daripada  kezaliman, mereka tidak tahu bahawa hak-hak asasinya dirampas, dan tidak sedar  kekayaannya dirompak. Yang mereka tahu siapa yang memberikan wang adalah orang  baik yang wajar disokong, tanpa menyedari bahawa si pemberi sebenarnya adalah  penyamun yang telah merompak habis harta-bendanya. Jadilah mereka rakyat yang  senasib dengan kaum Nabi Hud `a.s. yang setia menyokong kezaliman, "…dan  (mereka) menuruti perintah semua penguasa yang sewenang-wenang lagi durhaka.' -- Hud:59; atau menjadi  rakyat yang bodoh sombong seperti kaum Nabi Nuh `a.s., "…dan  mereka mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya hanya menambah  kerugian baginya." -- Nuh:21.
    
    Perubahan  Politik dan Politik Perubahan
    
    Bagi warga  gerakan Islam, yang penting bukan sekadar perubahan politik dalam erti pertukaran  parti pemerintah semata-mata. Yang diperjuangkan oleh gerakan Islam adalah  politik perubahan dalam pengertian berlakunya perubahan hakiki ke arah aktualisasi  cita-cita Islamiah -- prinsip dan nilainya, hukum dan maqasidnya. Aspirasi politik  gerakan Islam adalah tegaknya prinsip kebebasan dan keadilan, suburnya nilai- nilai  moral amanah, ketelusan dan kesederhanaan; terjaminnya keselamatan dan ketertiban,  dan terlaksananya pemerintahan rule of law yang religius  dan berintegriti. 
    
    Politik perubahan  yang kita perjuangkan meliputi realisasi maqasid al-shari`ah dalam erti yang  setepat dan selengkapnya, bukan sekadar slogan-sloganan dan pidato-pidatoan. Objektif  memelihara jiwa (hifz al-nafs) harus dilaksanakan dalam pengertian  bukan sekadar melindungi nyawa, tetapi juga jaminan kualiti hidup yang  selayaknya sebagai manusia bermaruah dan bermartabat. Objektif memelihara agama  (hifz  al-din)  harus dilaksanakan dalam pengertian pendaulatan dan penghayatan  ajaran-ajarannya di segala ranah kehidupan. Objektif memelihara akal (hifz  al-`aql)  harus dilaksanakan dalam pengertian membangun daya fikir dan membina rakyat  yang cerdas dan enlightened. Objektif memelihara harta (hifz  al-mal)  harus dilaksanakan dalam pengertian pembangunan ekonomi dan pengawalan kekayaan  negara dari pembaziran, pembolotan dan segala bentuk penyelewengan. Objektif  memelihara keturunan (hifz al-nasl) pula harus dilaksanakan dalam  pengertian pembinaan generasi yang bersih, kuat dan terdidik dengan sempurna.
    
    Sistem Dua  Parti
    
    Yang harus  menjadi perhitungan utama dalam demokrasi elektoral adalah khidmat yang lebih  baik untuk rakyat. Untuk itu parti pemerintah perlu disaingi dan ditandingi  oleh parti alternatif yang kuat, a formidable force yang  sewaktu-waktu boleh menggantikannya sebagai pemerintah. Kehadiran dua kekuatan  politik yang seimbang adalah penting untuk memacu persaingan memberikan khidmat  yang lebih baik untuk rakyat. Tanpa saingan dan tandingan yang bererti, parti  yang berkuasa akan berasa terlalu selesa dan seterusnya akan mengalami  penurunan komitmen dalam memberikan khidmat yang lebih baik. Keadaan seperti  itu akan menumbuhkan sikap taken for granted, "sudahnya rakyat akan memilih  kita juga, kerana tidak ada alternatif.". Dengan kata lain, dalam konteks masa  kini, sistem dua parti adalah suatu keperluan bagi menjamin wujudnya persaingan  yang real  dan  bererti. Rakyat akan mendapat khidmat yang lebih baik dalam politik yang  memungkinkan berlakunya pertukaran kuasa pemerintahan dari semasa ke semasa.
    
    Politik  Baru dan Tahaluf Siyasiy
    
    Setelah lebih  setengah abad merdeka, rakyat Malaysia mulai memperlihatkan tanda-tanda keinginan  menerokai politik baru. Politik kapitalisme kroni dan perkauman sempit tidak  lagi dapat dipertahankan dalam arus kebangkitan politik moral dan idealisme keadilan  dan kebersamaan. Tahaluf siyasiy (pakatan politik) Muslim-bukan  Muslim dalam ranah politik plural adalah suatu eksperimen yang wajar diberi  ruang dalam konteks politik baru yang realistik berasaskan nilai-nilai luhur  yang disepakati bersama. PRU-12 telah memperlihatkan isyarat bermulanya politik  pembebasan dari kepompong politik perkauman. Rakyat membuat pilihan tidak lagi  berasaskan kaum, tetapi berasaskan idealisme -- keadilan dan kebebasan, maruah  dan martabat keinsanan, integriti moral dan pelayanan yang lebih baik.
    
    Dalam  masyarakat majmuk seperti Malaysia, kehadiran warga bukan Muslim harus diakui  sebagai realiti yang diambilkira dalam penggagasan sebarang formula politik. Umat  Islam yang semakin terdedah kepada wacana-wacana politik Islam kontemporari, semakin  bersikap terbuka dan bersedia untuk menjalin kerjasama politik dengan warga bukan  Muslim. Ternyata antara impak terbesar fenomena kebangkitan Islam adalah kefahaman  yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam, termasuk dasar-dasar politiknya. Sikap  mejauhi golongan bukan Muslim semata-mata kerana ketidak-Islaman mereka telah  berubah setelah memahami hakikat konsep ukhuwwah (persaudaraan)  yang luas, meliputi persaudaraan seagama, persaudaraan sebangsa, persaudaraan  setanahair dan persaudaraan kemanusiaan sejagat. 
    
    Al-Qur'an tidak  hanya menyebut persaudaraan keagamaan (Sesungguhnya  orang-orang mukmin itu bersaudara) – al-Hujurat:10, tetapi  menyebut juga persaudaraan kebangsaan lewat pengkisahan tentang hubungan antara  para anbiya' dan mursalin (Nuh, Lut, Hud dan Salih `a.s.) dengan kaum masing-masing  yang menolak dakwah, (tetap dalam kekafiran kesyirikan) tetapi masih dianggap saudara,  (…akhuhum  Nuh…)  – al-Shu`ara':  105, 106, (…akhuhum  Lut…)  -- al-  Shu`ara': 160,161, (…akhuhum Hud) -- al-Shu`ara':124, dan ( …akhuhum  Salih )  -- al-Shu`ara':142.  Kata  akhuhum  dalam  ayat-ayat tersebut bererti saudara. Memang tidak semua orang bukan Muslim itu  musuh, malah tidak sedikit yang memperlihatkan semangat setiakawan sehingga  kaum Muslimin berasa terharu dengan kebaikannya. Ketika Rasulullah s.`a.w.  menderita kelaparan dalam kepungan dan pemulauan oleh Quraysh di Shi`b Abi  Talib selama tiga tahun tanpa bekalan makanan, seorang bukan Muslim, Hisham ibn  `Amr al-`Amiriy tidak sampai hati menyaksikan kezaliman yang ditimpakan ke atas  saudara-saudara sebangsanya. Beliau nekad melanggar larangan Quraysh demi  simpatinya terhadap umat Islam yang kelaparan. Setiap malam, setelah semua orang  tidur nyenyak Hisham menghantarkan bekalan makanan sebanyak yang terdaya dibawa  oleh seekor himarnya. Nama Hisham ibn `Amr al-`Amiriy abadi dalam sejarah  sebagai orang bukan Muslim yang berjasa besar meringankan derita umat Islam  ketika tidak ada orang yang sanggup melakukannya. (Khalid, `Amr, 2006:70)
    
    Tahaluf  siyasiy dalam  konteks masyarakat majmuk yang mengamalkan demokrasi elektoral tentunya akan  membawa kepada pembahasan isu pengangkatan calon bukan Islam sebagai wakil  rakyat. Dalam kaitan ini al-Shaykh Dr. Yusuf al-Qaradawiy mengatakan bahawa isu  pengangkatan wakil rakyat tidak sampai dan tidak termasuk dalam bab imarah atau wilayah. Wakil rakyat  bukan amir,  bukan  wazir  dan  bukan juga wali. Ia hanya mewakili  sejumlah warga di kawasan tertentu. Tugasnya hanya menyuarakan kepentingan  rakyat yang diwakilinya, kalau pun ikut menggubal undang-undang, ia tidak  melibatkan hukum-hakam agama yang dinaskan secara muhkam. (Al- Qaradawiy,  Yusuf, 1999: 194-195).
    
    Seandainya  pengangkatan mereka sebagai wakil rakyat akan berhujung dengan pelantikan  mereka sebagai menteri sekalipun, ia tidak menjadi isu, kerana pada zaman tamadun  Islam dahulu pun, para ulama mengharuskan pelantikan orang bukan Islam (ahl al-dhimmah) sebagai  menteri pelaksana (wazir al-tanfidh). Sejarah mencatatkan ramai orang  bukan Islam yang menjadi menteri dalam kerajaan Abbasiyah, dan tidak ada bantahan  ulama terhadap mereka. Memberikan kepercayaan dengan tanggungjawab tertentu  kepada orang bukan Islam yang memang boleh dipercaya tidak perlu dipermasalahkan.  Jika lelaki Muslim boleh mengahwini wanita bukan Muslim kitabiyyah,  bukankah  itu juga bererti mempercayakan tugas pengurusan rumahtangga dan tanggungjawab  keibuan kepada orang bukan Islam?
    
    Sebagai sesama  warganegara, hak dan tanggungjawab -- Muslim dan bukan Muslim - - pada asasnya  adalah sama. Demikianlah ketetapan yang berasaskan prinsip: lahum ma  lana, wa `alayhim ma `alayna (mereka berhak mendapat apa yang kita  dapat, dan mereka memikul tanggungjawab yang sama kita pikul). Agama memang  tidak menghalang memberikan pelayanan yang baik dan adil kepada warga bukan  Muslim, andainya mereka tidak memperlihatkan sikap permusuhan dan penentangan  terhadap kaum Muslimin. 
    
    Demikianlah  yang difirmankan oleh Allah:
    Allah  tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang  tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung  halamanmu. Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil. -- al-Mumtahanah:8.
    
    Merujuk ayat  tersebut al-Shaykh Yusuf al-Qaradawiy menyebut bahawa berbuat baik dan berlaku  adil terhadap warga bukan Islam sedemikian itu termasuklah pemberian ruang  untuk mereka menganggotai majlis-majlis perwakilan. (Al-Qaradawiy, Yusuf, 1999:  195). Dengan semangat ayat tersebut juga kita boleh membuat rumusan bahawa berbuat  baik dan berlaku adil terhadap warga bukan Muslim termasuk juga menepati janji untuk  saling mendukung dalam kerjasama politik, khususnya dalam pilihan raya. Justeru,  menepati janji adalah bahagian daripada tuntutan syara`. 
    
    Mengadakan tahaluf  siyasiy dengan  golongan bukan Muslim bukanlah suatu bid`ah politik yang tidak berdasar.  Sebelum diutus membawa risalah Islam Nabi s.`a.w. sudah berpartisipasi dalam Hilf  al-fudul, sebuah  pakatan di kalangan orang-orang musyrikin Arab untuk menghadang pencerobohan  dan melindungi kaum mustad`afin. Sesudah diangkat menjadi Rasul, Junjungan  s.`a.w. mengenang peristiwa tersebut dengan penuh rasa penghargaan terhadap  pakatan yang bermotif kebaikan itu dengan bersabda, "Andainya  sesudah Islam (sekarang ini) aku dipanggil untuk menyertai (pakatan) seperti itu  lagi, nescaya aku akan menyahutnya".
    
    Dalam amalan  demokrasi di negara ini, ketua kerajaan tidak dipilih secara langsung oleh rakyat  menerusi pilihan raya. Pengangkatannya dilakukan menerusi wakil-wakil rakyat di  parlimen. Kerana itu pilihan raya umum menjadi sangat penting kerana ia juga  terkait dengan pengangkatan orang no.1 negara yang banyak menentukan untung  nasib rakyat dan negara. Rakyat tentunya menginginkan negara ini dipimpin oleh  tokoh yang bersih, berwibawa dan berkompetensi, bukan sekadar tokoh selebriti  politik. Untuk mencapai keinginan tersebut, mengundi dalam pilihan raya umum  harus juga didasarkan pada perhitungan memilih wakil yang dapat menjadi saluran  terpilihnya ketua kerajaan yang menepati atau yang lebih menghampiri kualiti qawiyyun  amin dan  hafizun  `alim.
    
    Mekanisme  Pilihan Raya dan Budaya Politik
    
    Untuk  menjayakan demokrasi elektoral kita memerlukan mekanisme pilihan raya yang bersih,  cekap dan berkecuali. Mekanisme pilihan raya harus benar-benar mampu menghasilkan  pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat untuk rakyat; mekanisme yang dapat menjamin  bahawa yang naik adalah yang terbaik. Dengan demikian kemenangan yang diraih  oleh seseorang calon atau sesebuah parti, benar-benar jelmaan kemenangan rakyat.  Pilihan raya yang bersih akan menggembirakan semua pihak kerana yang menang  bukan wang, bukan rasuah, bukan kecurangan dan bukan penipuan, tetapi yang  menang adalah demokrasi yang memang diperjuangkan oleh semua.
    
    Dalam kaitan  ini kita harus menyuarakan keprihatinan terhadap biaya pilihan raya yang terlalu  mahal, sehingga yang selalu menjadi masalah ketika menghadapi pilihan raya adalah  soal dana. Pilihan raya yang mahal akan membuka pintu rasuah seluas-luasnya. Ia  akan mengundang pelaburan para pemilik dana (kapitalis/korporat/cukong), dan apabila  berlaku persekongkolan politik dengan bisnes, bererti kiamatlah moral politik. Justeru,  moral politik tidak akan laku di tengah kemeriahan pasar jual-beli undi.
    
    Ketika ini wang  seolah-olah sudah menjadi bahasa politik. (tidak ada wang, tidak ada politik!).  Wanglah yang menjadi tonggak kekuatan politik, wanglah penentu elektibiliti parti  dan akhirnya wang jugalah yang menentukan pemenangnya. Dalam budaya politik korup  seperti itu wang dapat membeli segala-gala: suara rakyat, lawan politik,  jentera, media dan segalanya. Pilihan raya adalah kesempatan terbaik merebut  peluang melabur dalam politik (pilihan raya) untuk mendapat pulangan dalam bentuk  projek dan kontrak kerajaan selepas pilihan raya. Budaya politik wang akhirnya  akan berakibat terbentuknya kerajaan yang korup. Untuk melindungi kuasa yang  korup institusi-institusi penegak undang-undang dilemah dan dilumpuhkan. Itulah  yang akan berlaku kepada institusi-institusi seperti kepolisan, kehakiman,  jabatan peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lainnya. Demikianlah transformasi  yang akan terjadi, dari agen penegak keadilan dan ketertiban menjadi alat  melindungi korupsi. Justeru, kekuatan institusi-institusi ini akan mengancam  kelangsungan kuasa yang korup. 
    
    Apabila politik  sudah menjadi sejenis bisnes orang berduit, tertutuplah peluang untuk mendapatkan  pemimpin yang baik, bermoral dan berintegriti. Para pelabur tidak akan mendanai  pemimpin yang kuat dan pro-rakyat, sebaliknya mereka akan membiayai "pemimpin"  tajaan mereka sendiri yang nanti akan dapat mereka kuasai. Ini bukan mimpi,  tetapi realiti yang telahpun terjadi. Fenomena penguasaan orang bisnes ke atas ahli-ahli  politik inilah yang diungkapkan oleh Noreena Hertz dalam bukunya, The  Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. Beliau  mengatakan, Politicians  are increasingly seen as impotent, irrelevant, and dishonest. People see their  government as unable to deliver what they promise, obsessed with unimportant  issues and internal politicking, riddled with corruption, clinging to outmoded  notions of authority, and increasingly in the pockets of business people. The  distinction between incompetence and dishonesty is becoming blurred as, in country  after country, senior politicians are discovered to have engaged in corrupt  practices. (Hertz,  Noreena, 2003: 121)
    
    Dalam budaya  politik yang dikuasai oleh duit, mereka yang tidak mahu menjadi calon tajaan  kaum berduit harus menyingkir meskipun berkualiti dan berpotensi menjadi pemimpin  yang baik. Tidak kurang memprihatinkan adalah gejala politik kekerasan.  Demokrasi seharusnya menjadi pentas adu kekuatan idea, bukan otot dan lengan.  Politik samseng adalah pengkhianatan terhadap prinsip dan nilai demokrasi  elektoral. Politik adu kekuatan fizikal adalah amalan masyarakat yang tidak  bertamadun. Parti-parti politik yang menjunjung prinsip dan nilai demokratik  seharusnya mampu membina massa demokrat yang menghormati aturan main yang bersih  dan beradab. Yang pertama dan utama adalah memenangkan demokrasi itu sendiri.  Manusia demokrat tulen tidak akan sanggup mencederai demokrasi atau melukai  warga pengamal demokrasi, semata-mata kerana ingin memenangkan diri dan  kelompok sendiri. Rakyat yang setia kepada nilai dan norma demokrasi harus  tegas menolak politik kekerasan, termasuk politik mengancam, mengugut, menakut-nakutkan  dan lain-lainnya.
    
    Perjuangan  menegakkan demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan pencerdasan dan  pemberdayaan rakyat. Justeru, demokrasi hanya akan punya erti jika rakyat  memiliki kekuatan daya fikir dan keberanian bersikap. Para pendukung demokrasi  harus siap melawan pembodohan dan pemiskinan. Politik yang didukung golongan  yang bodoh dan miskin akan mengekalkan kebodohan dan kemiskinan. Bagi mereka  warganegara yang efektif, cerdas, kritis dan tidak bergantung adalah bahaya  yang akan menggugat kekuasaan yang sewenang-wenang. Memang survival penguasa  yang zalim selamanya bergantung pada kebodohan dan kemiskinan rakyat. Rakyat  yang miskin dan yang bodoh selalu mengundi atas pertimbangan kepentingan  peribadi dan habuan jangka pendek yang bersifat kebendaan, bukan atas  pertimbangan jangka panjang yang bersifat public virtues, kebaikan  bersama atau maslahah  `ammah.
    
    Gerakan  Islam dan Misi Demokratisasi 
    
    Gerakan Islam  yang setia pada misi taghyir al-munkar, merubah kemungkaran (rasuah, fitnah,  kezaliman, penindasan, pemborosan dan yang sejenisnya), harus  menggunakan hak demokratiknya mengundi dalam pilihan raya dengan niat suci  melaksanakan amanat  Nabi s.`a.w., "Sesiapa  yang melihat kemungkaran hendaklah ia merubahnya…" Gerakan Islam  tidak seharusnya menjadi alat mempertahankan kebobrokan. Merelakan diri  diperalat untuk motif sedemikian itu adalah suatu penodaan terhadap kemurnian risalah  dan sekaligus pengkhianatan terhadap idealisme perjuangan kader-kader Islamis. 
    
    Gerakan Islam  juga turut memikul tanggungjawab meratakan pendidikan demokrasi. Rakyat harus  disedarkan bahawa demokrasi adalah prinsip, nilai dan mekanisme yang perlu di  pelajari, difahami dan dihayati secara murni dan konsisten. Demokrasi bukan sekadar  pilihan raya, yang dilaksanakan asal jadi, atau asal ada. Yang dituntut bukan pilihan  raya asal-asalan, tetapi pilihan raya yang bersih, adil dan efisien. Rakyat  perlu lebih kritis terhadap SPR agar institusi tersebut menjadi lebih  berwibawa, berintegriti dan bermaruah sebagai badan pelaksana yang berkecuali  dan adil. Rakyat perlu dididik dengan budaya politik yang sihat menerusi  semangat persaingan fa 'stabiqu 'l-khayrat, penegakan  moral politik dan seterusnya penolakan terhadap politik fitnah, politik wang dan  politik curang.
    
    KAU INI  BAGAIMANA
    ATAU
    AKU HARUS  BAGAIMANA
    
    Kau ini bagaimana?
    
    Kau bilang aku  merdeka, kau pilihkan untukku segalanya
    Kau suruh aku  berpikir, aku berpikir kau tuduh aku kapir
    
    Aku harus  bagaimana?
    
    Kau bilang  bergeraklah, aku bergerak kau curigai
    Kau bilang  jangan banyak tingkah, aku diam saja kau waspadai
    
    Kau ini  bagaimana?
    Kau suruh aku  pegang prinsip, aku memegang prinsip kau tuduh aku kaku
    Kau suruh aku  toleran, kau bilang aku plin-plan
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau suruh aku  maju, aku maju kau srimpung kakiku
    Kau suruh aku  bekerja, aku bekerja kau ganggu aku
    
    Kau ini  bagaimana?
    Kau suruh aku  taqwa, khutbah keagamaanmu membuat aku sakit jiwa
    Kau suruh aku  mengikutimu, langkahmu tak jelas arahnya
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau suruh aku  menghormati hukum, kebijaksanaanmu menyepelekannya
    Kau suruh aku  berdisiplin, kau menyontohkan yang lain
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau bilang  Tuhan sangat dekat, kau sendiri memanggilnya dengan pengeras suara tiap saat
    Kau bilang kau  suka damai, kau ajak aku setiap hari bertikai
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau suruh aku  membangun, aku membangun kau merusaknya
    kau suruh aku  menabung, aku menabung kau menghabiskannya
    
    Kau ini  bagaimana?
    Kau suruh aku  menggarap sawah, sawahku kau tanami rumah-rumah
    Kau bilang aku  harus punya rumah, aku punya rumah kau meratakannya dengan tanah
    
    Kau ini  bagaimana?
    Aku kau larang  berjudi, permainan spekulasimu menjadi-jadi
    Aku kau suruh  bertanggungjawab, kau sendiri terus berucap wallahu  a`lam bissawab
    
    Kau ini  bagaimana?
    Kau suruh aku  jujur, aku jujur kau tipu aku
    Kau suruh aku  sabar, aku sabar kau injak tengkukku
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau suruh aku  memilihmu sebagai wakilku, sudah kupilih kau bertindak semaumu
    Kau bilang kau  selalu memikirkanku, aku sapa saja kau merasa terganggu
    
    Kau ini  bagaimana?
    Kau bilang  bicaralah, aku bicara kau bilang aku ceriwis
    Kau bilang  jangan banyak bicara, aku bungkam kau tuduh aku apatis
    
    Aku harus  bagaimana?
    Kau bilang  kritiklah, aku kritik kau marah
    Kau bilang cari  alternatifnya, aku kasih alternatif kau bilang jangan mendikte saja
    
    Kau ini  bagaimana?
    Aku bilang  terserah kau, kau tidak mahu
    Aku bilang  terserah kita, kau tak suka
    Aku bilang  terserah aku, kau memakiku
    
    Kau ini  bagaimana?
    
    (K.H.A.Mustofa  Bisri, 1987)
    
    Rujukan:
    
    Al-Mawardiy,  Abu al-Hasan `Aliy ibn Muhammad ibn Habib. t. t. Al-Ahkam  al- Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Beirut: Dar al-Kutub  al-`Ilmiyyah.
    Al-Mu`askariy,  Abu Ahmad Muhammad Balqard ibn Ahmad. 2005. Mafhum al- Hizbiyyat  al-Siyasiyyah wa hukmuha fi al-Islam. Al-Jaza'ir: Dar al- Khalduniyyah.
    Al-Qaradawiy,  Yusuf. 1999. Min  Fiqh al-Dawlah fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Shuruq.
    George,  Cherian. 2012. Freedom from the Press: Journalism and State Power in  Singapore. Singapore:  NUS Press
    Hertz, Noreena.  2003. The  Silent Takeover: Global Capitalism and the Death of Democracy. New York:  Harper Business.
    Khalid, Amr.  2006. `Ala  Khuta 'l-Habib S.`A.W. Beirut: Al-Dar al-`Arabiyyah li al- `Ulum.
    --
  Posted By  Outreacher  to  
Wadah Utara  at  3/08/2013 11:29:00 PM 
                              
No comments:
Post a Comment