Sunday, March 25, 2007

Masa depan bahasa Melayu makin tergugat

Masa depan bahasa Melayu makin tergugat - Awang Sariyan



Mohd Sabri Said Tue Dec 26, 06 09:01:24 AM
BUKIT MERTAJAM, 26 Dis (Hrkh) - Status bahasa Melayu kini umpama 'telur di hujung tanduk' walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermati-matian mahu memartabatkan kedudukan bahasa ibunda.
Pensyarah Univesiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Awang Sariyan menyifatkan, kemelut bahasa terus menjadi-jadi sehingga menimbulkan kerumitan di kalangan pelajar Melayu terutamanya di kawasan pedalaman.
"Pengabaian dasar bahasa memungkinkan timbul kemerosotan yang berterusan status pelajar Melayu di negara ini. Sekarang ini pun keputusan peperiksaan menyaksikan kejatuhan dalam dua pelajaran utama iaitu Sains dan Matematik, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Bahasa dan Pendidikan Islam Membangun Peradaban Ummah sempena Kongres Umat Islam Se Malaysia (Kuisma) di Komplek An-Nahdoh, Kubang Semang, Bukit Mertajam baru-baru ini.
Katanya, jika benar kerajaan mahu menyanjung kedaulatan bahasa Melayu mereka juga kena bersama-sama mempraktik kaedah seperti mengadakan mesyuarat atau urusan rasmi dalam bahasa Melayu sepertimana yang termaktub perkara 152 dalam perlembagaan.
Menurutnya, bagi merealisasikan semula status bahasa Melayu agar tidak ketandusan maka kena kembali menyuarakan bahasa termasuk menukarkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia.
Ini kerana, selepas diperkenalkan dalam peperiksaan mutu keputusan makin rendah seolah perangkap samar yang boleh meragut nyawa dalam jangka masa panjang.
Lagi pun, bahasa ibunda tidak menghalang kecapi kemajuan sebagaimana Jepun, Korea dan China.
"Kita jadi takut dan bimbang tidak memperolehi kemajuan seandainya tidak mengamalkan bahasa Inggeris. Sedangkan, negara maju seperti Jepun, Korea, China, Russia tidak pun mengutamakan bahasa Inggeris tetapi tetap maju dan terus berpotensi sehingga kini, " jelasnya dalam program anjuran Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Sekretariat Jaringan Muafakat Pertubuhan-Pertubuhan Islam Perak (JAMA'IY).
Turut sebagai ahli panel dalam agenda Memperkukuhkan Pendidikan Islam- Satu Penilaian Untuk Melakar Masa Depan Ummat' ialah Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Univesiti Islam Antarabangsa (UIAM), Profesor Dr Aziz Bari dan Pensyarah Kuliyyah Pendidikan Islam UIAM, Profesor Madya Dr Sidek Baba. - mr

No comments: