Saturday, July 29, 2006

Isu Artikel 11 : Kenyataan PM tamparan hebat buat Nazri Aziz

Isu Artikel 11 : Kenyataan PM tamparan hebat buat Nazri Aziz
Wed Jul 26, 06 10:40:22 AM
Oleh Wan Nordin wan Yaacob

SEREMBAN, 26 Julai (Hrkh) - Kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kewujudan kumpulan Artikel 11 hanya mengundang masalah kepada perpaduan memberi tamparan hebat kepada Menteri di jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz.


Ini kerana, Mohammed Nazri sebelum ini cukup lantang menyelar pertubuhan Islam termasuk PAS yang bertindak membantah perjuangan kumpulan Artikel 11, termasuk menyifatkan PAS sebagai bodoh kerana menentang forum Artikel 11, kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaffar.


Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas kenyataan Abdullah berhubung kumpulan Artikel 11 dalam laporan akhbar harian hari ini.


"Siapa sebenarnya yang bodoh sekarang, Abdullah sendiri menyatakan kewujudan kumpulan Artikel 11 boleh mengundang perpecahbelahan, jadi mengapa Nazri pula menyokong kumpulan ini," katanya ketika membalas kenyataan Nazri membodohkan PAS di Dewan Rakyat yang pernah disiarkan Harakahdaily sebelum ini.


Hari ini rakyat Malaysia dapat melihat bahawa PM sendiri tidak bersetuju dengan perjuangan kumpulan Artikel 11 yang dilihat mampu memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum, katanya.


Dengan keputusan yang Abdullah buat ini, pihak polis seharusnya membebaskan tiga aktivis PAS Pulau Pinang yang didakwa terlibat dengan penganjuran perhimpunan aman membantah forum Artikel 11 di Pulau Pinang baru-baru ini.


"Polis seharusnya berterima kasih kepada PAS kerana menghalang usaha Artikel 11 untuk meneruskan forum yang dibimbangi memberi kesan kepada perpaduan rakyat," kata Kamaruddin yang juga ahli Parlimen Tumpat.


Tolak IFC
Abdullah dalam satu kenyataannya hari ini berkata, beliau meminta semua pihak termasuk media menghentikan segala perbincangan mengenai agama kerana ia sangat sensitif.


Abdullah berkata, kerajaan kini memerhatikan kegiatan tersebut dengan serius kerana berpendapat ia boleh memberi kesan buruk kepada negara jika diteruskan tanpa sekatan.


"Hentilah (perbincangan agama), jangan buat apa-apa. Isu agama cukup sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu perkauman. Jika ia tidak dibendung, dikawal secara berhati-hati, akan lahir situasi tentangan di kalangan rakyat."


"Jika perbincangan (agama) yang berjalan itu tidak dibendung, tidak dikawal dengan perasaan berhati-hati, maka apa yang berlaku ialah ketegangan antara rakyat yang menganuti agama berlainan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Kumpulan Artikel 11 yang mengandungi 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam yang sedang menjalankan kempen seluruh negara bagi mendapat sokongan untuk meminda Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan.


Kandungan Perkara 121(A) tersebut merujuk kepada peruntukan perlembagaan yang menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah.


Pertemuan pertama kumpulan 13 NGO tersebut berlangsung di Johor Bahru, Johor pada 22 Julai lepas.Perdana Menteri berkata, pihak yang mengadakan perbincangan agama adalah kumpulan yang mahukan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) diwujudkan.


"Yang meneruskan perdebatan agama itu ialah kumpulan yang mahukan IFC. Saya katakan IFC sangat sensitif."Mengenai IFC, saya sendiri minta tangguh, jika tangguh ia tak perlu diadakan perbincangan lagi."


"Bila dilaksanakan, inilah jadinya. Dulu tiada masalah, sekarang dah jadi masalah," kata Perdana Menteri.Malah beliau yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri berkata, IFC ditangguh hasil daripada keputusan Jemaah Menteri pada tahun lalu.


Dalam hal ini, Abdullah berkata, MT UMNO berpendapat dan bersepakat bahawa IFC tidak perlu diadakan langsung kerana ia sangat sensitif.



Nazri anti Islam
Sidang Dewan Rakyat pada 17 Julau lalu hangat setelah Mohammed Nazri mengeluarkan kata-kata kesat kepada PAS dengan menyifatkan 'PAS bodoh' kerana terlibat dalam membantah forum yang dianjurkan kumpulan Artikel 11 di Pulau Pinang baru-baru ini.


Kenyataan Mohammed Nazri berhubung tuduhan PAS sebagai 'bodoh' kerana terlibat menghalang Kumpulan Artikel 11 mengadakan forum disifatkan sebagai satu tindakan yang anti kepada Islam, kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayob yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.


Beliau yang ditemui selepas membahaskan Rang Undang-undang Kanun Kesiksaan (Pindaan) 2004 di Dewan Rakyat berkata, kenyataan Mohammed Nazri itu jelas menunjukkan 'tohmahan' pelbagai pihak bahawa menteri itu anti Islam adalah benar.


Tidak pertahan Islam
Sambil melahirkan rasa kesal di atas kenyataan itu Salahuddin mengutuk tindakan Nazri yang dilihat tidak mempertahankan Islam tatkala ada pihak bukan Islam cuba menodai Islam dengan pelbagai usaha termasuk dengan siri-siri penerangan forum Artikel 11 ini, katanya.


Menurut beliau, PAS membantah keras kumpulan Artikel 11 adalah kerana kumpulan ini mempunyai agenda untuk memastikan individu yang beragama Islam bebas menukar agamanya atau dalam erti kata lain menghalalkan 'murtad'.


"Apa lagi yang tinggal kepada umat Islam jika hak ini (Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan) dipinda>oleh itu berhak bagi kita mempertahankan hak ini dari dinodai kumpulan seperti Artikel 11 atau IFC," katanya.


Mengecewakan dan sudah diduga
Kenyataan Mohammed Nari itu amat mengecewakan, bagaimanapun seperti yang telah diketahui umum ianya menjadi kebiasaan kepada menteri itu untuk berkata sedemikian, kata Kamaruddin dalam kenyataannya yang terdahulu di Dewan Rakyat.


Mengenai tuduhan PAS melalui kumpulan yang dinamakan 'Badai' menghalang perjalanan forum anjuran Artikel 11, Kamaruddin berkata, Mohammad Nazri sendiri sebenarnya salah dalam tafsiran mengenai kebebasan kerana baginya menurut perlembagaan, Badai berhak untuk berdemonstarsi atau berhimpun.


"Hak untuk berdemonstarsi, berhimpun menyatakan bantahan adalah hak semua rakyat.Badai tidak membatalkan perhimpunan Artikel 11, tetapi pihak polis yang bertindak demikian," katanya.


Baginya, adalah satu kesilapan jika Mohammaed Nazri menyatakan Badai adalah pihak yang menghalang forum Artikel 11, sebaliknya yang menghalang adalah pihak polis yang memberi arahan membatalkannya, katanya.


Sementara itu Abdul Fatah Haron (PAS Rantau Panjang) yang turut diminta mengulas kenyataan Nazri itu berkata, beliau tidak kesal dengan kenyataan Nazri itu sebaliknya telah menduga sikap sedemikian ditampilkan Nazri.

No comments: