Monday, November 14, 2005

Derita rakyat biayai kos rawatan hanya disedari PM selepas Endon tiada?

Derita rakyat biayai kos rawatan hanya disedari PM selepas Endon tiada?
Wednesday, October 26 2005

Oleh HAFIZ MOHD BAQI

SEORANG lelaki termenung di beranda Masjid Pusat Perubatan Universiti
Malaya (PPUM). Sebentar dia berbaring, kemudian bangun dan duduk di satu
sudut agak jauh daripada bangunan masjid sambil menghisap sebatang rokok
sebelum kembali semula ke dalam masjid dan mengulangi perbuatannya tadi,
adakalanya dia terlelap seketika sehinggalah bergema azan Isyak.

Kelakuan lelaki tersebut bukan lagi asing kepada beberapa jemaah tetap
masjid itu yang datang untuk bersolat terutamanya waktu Magrib dan Isyak.
Sudah berbulan-bulan lelaki tersebut menjadi pengunjung setia rumah Allah
yang dibina untuk kemudahan para kakitangan atau pengunjung PPUM.
Bahkan kadang-kadang, terutamanya hujung minggu susuk lelaki berumur dalam
lingkungan 30-an itu bukan sahaja kelihatan pada waktu malam tetapi pada
siang-siang hari (antara waktu Zuhur dan Asar) pun ada.
Lelaki itu mula berada di situ apabila anak sulungnya ditakdirkan menjadi
salah seorang penghuni salah sebuah katil di tingkat lima bahagian
Pediatrics Intensive Care Unit (PICU).

"Rawatan di wad RM45 sehari, kalau sebulan berapa, kalau berbulan-bulan
berapa pula…itu belum dicampur dengan kos lain seperti pembedahan, kos
berulang alik lebih kurang 18 kilometer dengan kesesakan Kuala Lumpur
serta bayaran parkir kereta lebih kurang RM3-RM5 setiap hari, mana aku
mahu cari duit," getus lelaki itu dalam hatinya.

Mungkin jumlah sebanyak itu bukanlah menjadi satu beban atau masalah besar
bagi ‘orang besar’ yang menetap di Bangsar Heights, Bukit Damansara, Taman
Tun Dr Ismail atau Bukit Tunku yang kekayaan mereka terlihat daripada
pagar hebat rumah mereka itu yang biasa dilihatnya sama ada ketika dalam
perjalanan dari Keramat ke PPUM atau ketika bersiar-siar di sekitar
Lembah Klang waktu pada lapang.

Tetapi bagi lelaki yang bekerja dengan gaji cukup-cukup untuk membayar
sewa rumah dan ansuran bulanan kereta dengan sedikit baki untuk sara
hidup, tidak perlu dengan jumlah beribu-ribu...jumlah beratus-ratuspun
boleh menjadikannya tidak tentu arah atau setidak-tidaknya bayaran
ansuran kereta untuk bulan itu 'terkantoi'.

"Ahh..duit rokok lagi, yang aku bodoh sangat jadi hamba benda tak
berfaedah (makruh, sesetengah ulama kata haram) tu buat apa!" getusnya
lagi dalam hati. Masakan tidak, belanja untuk rokoknya sahaja boleh
mencecah RM150-RM200 sebulan.

Sedar tidak sedar, dalam pada beliau mundar-mandir dan kadang-kadang duduk
termenung di tepi masjid PPUM itu, sudah lebih lima batang puntung rokok
'ditenyehnya' ke simen konkrik yang menjadi tempat orang berjalan kaki
sekali gus sebagai penghalang kepada kereta-kereta yang ingin memakir di
bahu jalan (untuk mengelak daripada dikenakan bayaran) dalam kawasan
hospital tersebut.

Berbulan-bulan berada di hospital, lelaki itu dapat melihat betapa sistem
yang diwujudkan di sekelilingnya tidak memudahkan orang sepertinya.
Beliau merasakan ruang untuk orang susah atau miskin di negara ini semakin
sempit dan tersepit. Kadang-kadang beliau bertanya sendirian apa
rasionalnya kerajaan mahu menswastakan hospital sedangkan tidakkah
kesihatan itu merupakan suatu perkara yang asas, yang perlu menjadi
tangungjawab kepada kerajaan terhadap rakyatnya yang membayar cukai.
Lelaki itu bertanya, adakah rugi kerajaan memberikan rawatan percuma
kepada rakyatnya yang mana apabila rakyat itu sihat dia boleh bekerja
atau yang belajar boleh terus belajar dan hasilnya nanti untuk negara
juga.
Lelaki itu bertanya bukan kerana dia tidak tahu...dia sememangnya tahu
tujuan kerajaan berbuat demikian untuk menjadikan perkhidmatan di
hospital-hospital lebih cekap dan efisyen seperti mana yang dia baca di
dada-dada akhbar.

Tapi lelaki itu tetap mahu bertanya kepada dirinya kerana ketika itu
beliau sedang berurusan dengan hospital yang memerlukan beliau membayar
beribu-ribu ringgit sedangkan beliau tidak pasti mampu atau tidak. Kalau
melihat kepada gaji bulanannya, alamat tidak berbayarlah bil hospital
itu.
Lelaki itu juga tahu bukan dia seorang menghadapi masalah itu.
Berbulan-bulan di hospital sudah ramai orang yang ditemuinya merungut
perkara yang sama. Ada Orang Asli yang sumber pendapatannya hanya
bergantung kepada kerja kampung, ada juga penoreh getah dan ada juga
pekerja kilang dan mereka semua bukan daripada kalangan orang yang mampu.
Itu belum dicampur dengan cerita yang dia baca di akhbar, tentang
kanak-kanak memerlukan beratus ribu ringgit untuk menjalankan pembedahan
hati sehingga terpaksa mengemis.

Menghembus nafas terakhir

Ada yang lebih menyedihkan apabila dia membaca kanak-kanak itu
menghembuskan nafas terakhir sebelum duit yang dirayunya cukup bagi
membolehkan rawatan dijalankan.

Walaupun lelaki itu tahu kerajaan ada menyediakan tabung bantuan perubatan
dan hospital juga boleh bertolak ansur dari segi bayaran untuk mereka
sepertinya, dia tetap mempersoalkannya...tidak semua orang mendapat
bantuan itu, bahkan ditambah dengan birokrasi dan segala macam
karenah...memang memeningkan.

Lagipun dia fikir, perlukah semua orang miskin terpaksa merayu-rayu
apabila menghidap penyakit yang rawatannya mahal.
Kebetulan lelaki itu ada memohon tabung bantuan untuk membeli sebuah alat
yang hampir sama mahal dengan harga sebuah kereta Proton Wira.
Beliau berterima kasih permohonan itu diluluskan dengan cara kumpulkan
dahulu segala duit yang ada, sama ada di dalam bank, dalam belanga, bawah
bantal atau dari saudara mara dan baki yang belum cukup akan ditambah oleh
tabung bantuan.

Tapi dalam kes lelaki itu, yang ditambah lebih banyak daripada yang dia
kumpulkan (dia memang berterima kasih). Kadang-kadang lelaki itu
merasakan dunia ini tidak adil kepada orang miskin. Mereka mendapat
rawatan dan layanan ala kadar sedangkan layanan bagus-bagus diperolehi
oleh orang berada. Kerisauannya itu bertambah apabila ada cadangan
kerajaan untuk menswastakan wad di hospital kerajaan.

Dalam hatinya terfikir sudah tentu doktor dan jururawat terbaik akan
bertumpu ke wad tersebut. Manakala kelengkapan dan kemudahan wad seperti
alat penghawa dingin, bilik air, keselesaan katil hanya akan dinikmati
oleh mereka yang berduit sahaja.

Masakan fasaliti wad biasa dengan wad swasta sama, kalau begitu baik semua
orang bertumpu kepada wad biasa yang murah atau percuma.
Tiba-tiba lelaki itu teringat sesuatu, rupa-rupanya sudah berbulan-bulan
isterinya mengambil cuti tanpa gaji.

"Makin parah," katanya dalam hati lagi. Tetapi lelaki itu tidak mahu
memikirkan masalah di tempat kerjanya, hanya menambah kerungsingan
sahaja.

Semakin lama lelaki itu di hospital semakin dia tertekan. Semuanya dilihat
tidak betul, ‘operator’ pengutip duit parkir kereta yang sebelum ini
sentiasa dia lemparkan senyuman setiap kali mahu memakir atau keluar
daripada kawasan pakir dirasa mahu ditinju sahaja apabila melihat
mukanya.
"Sudah lebih tiga bulan aku berulang alik ke hospital dengan caj wad RM45
sehari, takkanlah tidak boleh bagi parkir percuma, tidak bolehkah pihak
hospital mengeluarkan satu pas percuma untuk pesakit atau penjaga
pesakit.

“Kalau pelawat lainlah, mereka tidak datang setiap hari. Dicampur RM45
dengan RM5 untuk bayaran pakir...ahh…susahnya," beliau merungut seorang
diri.

Kini, setelah berbulan-bulan lamanya lelaki itu sudah tidak lagi ke
hospital. Dia tidak tahu adakah selama-lamanya atau selepas ini dia perlu
berulang alik ke hospital lagi. Terserahlah kepada Tuhan.

Tetapi suatu hari lelaki itu terkejut dan tergamam, pelik lagi hairan
apabila membaca satu laporan akhbar: 'Perdana Menteri menyatakan iltizam
mahu memastikan rakyat yang menghidap penyakit kanser payu dara mendapat
rawatan dan ubat dengan harga berpatutan.'

Lelaki itu terkejut dua kali, pertama beliau terkejut kerana yang
beriltizam itu adalah PM, bukan ketua pembangkang atau Presiden PAS.
Adakah seorang PM perlu meperjuangkan bayaran murah untuk rawatan kanser.
Lelaki itu mula keliru antara kuasa PM dengan kuasa seorang presiden
parti pembangkang.

"Bukankah seorang PM boleh terus melaksanakan dasar rawatan di hospital
kerajaan secara percuma dengan memberikan arahan tertentu melalui
prosedur tertentu?" dia menyoal tetapi dalam hatinya sahaja.
Keduanya lelaki itu terkejut kerana PM mula bercita-cita untuk
mengurangkan kos rawatan satu penyakit hanya penyakit itu terkena kepada
arwah isterinya (semoga Allah merahmati Datin Seri Endon).
Tidakkah PM tahu berapa ramai rakyat di negara ini telah merana atau
meninggal dunia kerana kesukaran untuk mendapatkan rawatan?
Tidakkah PM tahu bahawa bukan rawatan penyakit kanser sahaja yang
membebankan rakyat. Dan tidakkah PM sedar bahawa rawatan itu sepatutnya
memang perlu diberi percuma atau dengan kadar bayaran minimum?

Dia menyoal lagi, perlukah keluarga atau orang terdekat dengan PM
menghidap penyakit bengkak hati, leukemia, hepatitis B, kanser otak,
serangan jantung, jantung berlubang, masalah paru-paru atau seribu satu
macam penyakit lagi yang rawatannya memerlukan kos yang tinggi baru
membolehkan rakyat negara ini menikmati rawatan perubatan murah atau
percuma.

Mujurlah laporan itu dibaca kebetulan pada bulan puasa dan jam belum
menunjukkan pukul 7 malam, lelaki itu tidak mengambil rokok seperti mana
yang biasa dia lakukan apabila dia kekeliruan, kegelisahan, kerungsingan,
kebingungan, kekenyangan, kegembiraan atau kesedihan.

Tetapi dia menghantukkan kepalanya beberapa kali ke meja. – lanh

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: