Monday, November 14, 2005

80% Tidak Sembahyang

SOLAT 5 WAKTU; 80 PERATUS TIDAK MENGERJAKAN NYA
Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah

SOLAT atau sembahyang merupakan ibadat yang amat penting
bagi setiap Muslim yang mukalaf kerana ia adalah fardu ain. Ini
diperkuatkan dengan ebuah hadis Nabi yang bermaksud; "Solat itu tiang
agama, sesiapa yang mendirikan solat bererti mendirikan agama dan sesiapa
yang meninggalkan solat bererti ia meninggalkan agama." Pun begitu, pakar
motivasi dan penceramah bebas terkemuka, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah,
mendedahkan 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan
solat lima waktu dalam sehari. Peratusan angka ini diperoleh melalui
tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang
dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup
masyarakat Islam masa kini.

"Mereka boleh berada di padang bola lebih dari satu jam, peniaga pasar
malam terlalu sibuk melayan pelanggan sehingga terlupa menunaikan solat
biarpun hanya mengambil masa 15 atau 20 minit. Malah ada juga yang sanggup
membuang masa di pusat membeli-belah, pusat karaoke, menyaksikan konsert,
menonton perlawanan bola sepak, terlibat dengan lumba motor haram selama
berjam-jam tetapi mengabaikan taklif agama yang mengambil masa pendek,"
kata Dr. Fadzilah dengan suara tersekat-sekat menahan sebak pada majlis
pelancaran album motivasinya yang berlangsung di salah sebuah hotel
terkemuka di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah beliau, hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat
fardu cukup lima waktu dalam sehari. Jumlah ini terlalu kecil sekiranya
dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini. Lebih
menyedihkan, senario yang berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah,
iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari.

Kekecewaan dan kebimbangan Dr. Fadzilah jelas tergambar apabila beliau
tidak dapat membendung air mata dan menangis, membuatkan hadirin tergamam
seketika. "Biarpun masa yang diperlukan itu pendek, tetapi banyak orang
yang ingkar untuk melakukannya kerana tidak menghayati ibadah tersebut,
natijah daripada tidak ada latar belakang pembelajaran agama. Kewajipan
solat sering dipandang remeh atau dianggap tidak ada nilai sensasi untuk
diketengahkan kepada umum. Namun hakikatnya, ia terpaksa disampaikan ke
pengetahuan semua kerana saya khuatir umat Islam akan menuju kehancuran
apabila umatnya sudah seperti penganut agama lain yang sembahyang
mengikut kehendak sendiri atau suka-suka sahaja," terang beliau.

Kata Dr. Fadzilah lagi, kepincangan ini terpikul di bahu setiap individu
Islam itu sendiri, bak kata pepatah Melayu, tepuk dada tanya hati. Di
dalam al-Quran, banyak firman Allah yang memerintahkan kita mengerjakan
solat, antaranya dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud; "Dan
dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu
semua (berjemaah) bersama-sama orang yang rukuk." Ini menjelaskan kepada
kita bahawa orang yang menunaikan solat sebenarnya telah menunaikan
tanggungjawabnya dan dikasihi oleh Allah dan rasul-Nya kerana mengikut
ajaran Islam.

"Semua pihak kena peka terutamanya ibu bapa kerana tidak menerapkan
ewajipan ini menjadi amalan harian di dalam diri anak-anak. Rasa kasihan
untuk mengejutkan anak solat Subuh merupakan salah satu contoh kerugian
besar dan cara yang salah dalam mempamerkan kasih sayang kepada anak.
Sebenarnya di dalam solat manusia diajak untuk mengabdikan diri kepada
Allah. Selain itu, solat merupakan benteng diri daripada melakukan
perkara-perkara mungkar. Orang yang melakukan solat juga mampu menjadi
orang yang melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat
dan agama," kata Fadzilah.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak sebab rapuhnya keimanan seseorang
itu; kerana suasana kerja, pengaruh teman-teman, pengaruh luar yang tidak
menggalakkan dan sebagainya. Namun, punca sebenar berlakunya demikian
ialah kerana tidak ada rasa tanggungjawab atau minat untuk menunaikan
sembahyang, kerana tidak memahami rahsia-rahsia keperluan sembahyang. Dr.
Fadzilah mengakui kebenaran bahawa manusia lebih peka menumpukan
perolehan yang bersifat material. "Allah swt menyuruh agar manusia
menjadikan dunia ini laluan bagi kehidupan di akhirat, tetapi manusia
sering mengeksploitasi hidup di dunia ini, seumpama hidup yang kekal,
menyebabkan mereka lupa hidup di akhirat dan membelakangkan
perintah-perintah-Nya," katanya lagi.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: