Monday, May 30, 2005

Kemiskinan di Merbok

Kemiskinan di Parlimen Merbok: JKKK, Penghulu pilih kasih agih bantuan
Friday, May 27 2005
Oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Hrkh) - Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid akur sememangnya wujud sikap pilih kasih di kalangan penghulu dan Jawatankuasa Kampung di kawasan Parlimen Merbok dalam pengagihan dan penyenaraian nama untuk bantuan.

Beliau berkata, pihaknya juga ada menerima aduan dari kalangan penduduk miskin di parlimen itu yang tidak berpuas hati kerana mereka tidak diberi perhatian.
"Saya tidak menafikan rungutan memang wujud, penduduk kena menghadapi beberapa halangan, malah ada yang rasa tersisih kerana tidak mendapat apa yang diminta dan sesuatu yang diminta pula dipanjangkan permohonan bahkan berakhir begitu sahaja," katanya semasa dihubungi.

Beliau berkata demikian mengulas satu kajian sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Mara (UiTM) terhadap masalah kemiskinan di kawasan Parlimen Merbok, Kedah mendapati wujud sikap pilih kasih di kalangan penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam pengagihan serta penyenaraian nama untuk bantuan.

Beliau juga mendakwa, JKKK sememangnya tidak ada sikap ingin mengambil tahu apa yang berlaku kepada pelajar-pelajar sekolah di kawasan mereka bahkan JKK juga tidak mengetahui jumlah pelajar yang akan menduduki peperiksaan.

"Bagi pelajar miskin di mana mereka boleh dapatkan duit untuk bayaran peperiksaan dan yuran sekolah begitu juga nasib ibu tunggal juga kurang diberi perhatian," jelas beliau.

Azmi yang merupakan anak tempatan, berkata, Teras juga pernah membuat kajian rambang bagi setaip khariah tentang projek pembangunan yang tidak dilaksanakan untuk penduduk di kawasan Merbok.

"Memang tidak dapat dinafikan wujudnya sikap pilih kasih di kalangan JKKK berdasarkan komponen maklumat yang diperolehi daripada kajian rambang itu," tegasnya.

No comments: