Friday, January 11, 2008

Rayuan ikat jamin Suwandi, Azman ditunda - tujuh dibebas dengan jaminan polis

Jan 08, 08

KUALA
TERENGGANU, 8 Jan (Hrkh) - Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menunda
permohonan mangsa tembakan peluru hidup dalam Tragedi Berdarah Batu Burok
8 September lalu, Suwandi Ab Ghani dan Muhamad Azman Aziz untuk
mendapatkan jaminan kepada 14 Januari ini.

Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian setelah pihak pendakwa yang
diketuai sendiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pihak
pembela, peguam Mohamed Hanipa Maidin serta Dato' Wan Abdul Muttalib
Embong mengemukakan hujah masing-masing.


Permohonan untuk mendapatkan jaminan itu dibuat setelah Hakim Mahkamah
Sesyen di sini, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan
Suwandi dan Azman ikat jamin.


Hassan juga mengekalkan keputusan itu pada perbicaraan 30 Disember lalu.


Abdul Gani semasa berhujah mengemukakan bantahan awal terhadap afidavit
pemohon yang terdapat beberapa kesilapan yang baginya adalah afidavit
cacat dan sangat lemah.


Antara perkara yang dibantah dalam afidavit tersebut berkait dengan
tandatangan peguam, ikrar, masa, hubungan kekeluargaan dan penghujahan
atau pendapat.


Mohamed Hanipa pula berhujah apa yang dihujahkan oleh Abdul Gani itu
tiada apa-apa notis bertulis.


Beliau turut mempersoalkan apa yang dikatakan oleh Abdul Gani terhadap
afidavit pemohon sebagai afidavit defektif tetapi dalam masa yang sama
menjawab afidavit berkenaan.


Beliau juga berhujah beberapa kesilapan yang berlaku dalam afidavit pihak
pendakwa.


Selain beliau dan Wan Abdul Muttalib, turut mewakili Suwandi dan Azman
ialah Wan Zainuddin Wan Musa, Haji Othman Mohd Noor, Kamaruzaman Abdul
Wahab, Aminuddin Zulkifli, Khairuddin Osman dan Fariz Irwan Mustafa.


Wan Muttalib pula mengakui tentang kesilapan kemanusiaan itu yang
menggunakan komputer tetapi tiada ada sebab dari segi undang-undang untuk
memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh untuk mendapatkan keadilan.


Baginya, kesilapan boleh dibuat pembetulan dan memohon untuk memasukkan
afidavit pembetulan kerana pihak Peguam Negara tiada apa-apa halangan
untuk membuat pembetulan supaya apabila dibawa ke atas berada di atas
landasan yang betul.


Abdul Gani tidak membantah terhadap permohonan itu kerana baginya
kedua-dua pihak harus menegakkan dari segi keadilan dan diperbetulkan
mengikut undang-undang.


Sehubungan itu, beliau tidak mahu ada pihak yang memenangi kes di
mahkamah di atas kesilapan yang tertentu.


Turut mewakil pihak pendakwaan ialah Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd
Yusof.


Sementara itu, tujuh orang pemuda yang ditahan pada sebelah pagi
diperkarangan mahkamah Kuala Terengganu telah dibebaskan pada lewat
petang semalam. Salah seorang dari mereka, Ustaz Tarmizi Jaafar, ketika
dihubungi oleh Buletinonline memberitahu bahawa, kesemua mereka
dilepaskan dengan jaminan polis.


"Alhamdulillah kami semua dilepaskan pada waktu hampir Maghrib, setelah
diambil keterangan oleh Inspektor Amirudin."


"Namun begitu, kami diberikan satu surat untuk kembali melapor kepada
Balai polis pada 20 Januari 2008,"jelas Ustaz Tarmizi.


Mereka tidak dikenakan apa-apa pertuduhan, namun begitu wujud kebimbangan
berulangnya peristiwa seperti Insiden Batu Buruk 8 September lalu, di mana
pertuduhan dibuat kemudian, setelah mereka melaporkan diri di balai polis.
- buletinonline.net


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: