Friday, January 11, 2008

Bekalan, harga minyak masak satu lagi 'bala'

A Kadir Jasin
Jan 08, 08

Pada saat cakap-cakap mengenai pilihan raya umum semakin hangat, skandal
seks yang membawa kepada peletakan jawatan Menteri Kesihatan Chua Soi Lek
bukanlah sesuatu yang semestinya dialu-alukan oleh Barisan Nasional.

Kalau pun ada yang gembira, mereka adalah musuh-musuh politik Chua dan
mereka yang berhasrat menggantikan beliau sebagai Ahli Parlimen Labis.


Yang pastinya sangat gembira dengan skandal seks Chua itu adalah
parti-parti pembangkang yang mendapat modal tambahan untuk membelasah
kerajaan "Islam Hadhari" Abdullah Ahmad Badawi.


Namun skandal seks Chua tidak menyentuh perasaan rakyat jelata sehebat
kenaikan harga atau kekurangan bekalan barangan utama.


Malangnya inilah yang sedang berlaku sekarang. Bekalan minyak masak
tiba-tiba hilang atau berkurangan sehingga memaksa kerajaan mengehadkan
setiap pembelian kepada lima kilogram mulai hari ini (7 Januari) seperti
yang dilaporkan oleh akhbar The Sunday Star.


Gabungan kenaikan harga dan kekurangan bekalan sehingga memaksa
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melaksanakan
catuan pastinya tidak memberi gambaran sihat mengenai kecemerlangan,
kegemilangan dan keterbilangan pemerintahan negara.


Catuan bekalan adalah kaedah yang ekstrem yang lazimnya dilakukan ketika
darurat besar atau oleh negara-negara daif yang tidak mampu menyediakan
bekalan makanan yang cukup akibat kemarau atau kekurangan wang.


Apakah Malaysia sudah merosot menjadi negara daif atau telah mengalami
darurat besar yang menyebabkan bekalan makanan putus?


Daripada perangkaan rasmi dan jerit pekik para pembesar serta para
ekonomis mereka, Malaysia jauh daripada daif apatah lagi muflis.
Sebaliknya pertumbuhan ekonomi dikatakan semakin kukuh, simpanan luar
semakin besar dan inflasi terus terkawal.


Tetapi bagaimana bekalan minyak masak yang dikeluarkan dengan begitu
banyak dalam negara dan dieksport pula ke merata dunia tiba-tiba hilang
dari para pasar raya dan dari kedai runcit?


Maaf cakap, penjelasan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal
Pengguna, Shafie Apdal, mengenai isu-isu perdagangan dalam negera selama
ini, sama ada berkaitan kenaikan harga, kekurangan bekalan atau cetak
rompak, adalah mengelirukan dan kurang meyakinkan.


Kenapa tiba-tiba berlaku kesuntukan bekalan minyak masak? Adalah kerana
pengguna membeli berlebihan disebabkan oleh ada ura-ura mengatakan harga
akan dinaikkan?


Atau kerana pengeluar minyak kelapa sawit mengeksport lebih banyak minyak
sawit mentah untuk mengambil kesempatan daripada harga antarabangsa yang
sangat mahal sekarang?


Sepanjang pengetahuan saya, eksport minyak sawit adalah tertakluk kepada
kawalan kerana pemerintah mahu memastikan kilang-kilang dan pengguna
dalam negara mendapat bekalan yang mencukupi.


Kita tidak boleh menyalah pengguna, khasnya peniaga makanan, jika
terpengaruh dengan khabar-khabar angin mengenai kemungkinan harga minyak
masak dinaikkan.


Malah ura-ura kenaikan harga dan kekurangan bekalan bukan khabar angin
atau spekulasi kosong lagi. Ia telah banyak kali berlaku iaitu pemerintah
membenarkan harga barang dan perkhidmatan utama dinaikkan pada awal tahun,
seperti yang berlaku dengan harga petrol, diesel dan gas memasak pada
Februari, 2006.


Bahayanya adalah kegiatan membeli berlebihan dan menyimpan ini mungkin
menjadi fenomena setiap awal tahun atau apabila menjelang musim perayaan.


Setiap kali hal ini berlaku, yang menjadi mangsa adalah pengguna individu,
khasnya dari golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membayar harga
tinggi apatah lagi membeli berlebihan.


Lagi jauh mereka dari kawasan bandar dan dari pasar raya lagi sukar bagi
mendapatkan bekalan dan lebih mudah pula mereka menjadi mangsa manipulasi
pasaran.


Kalau bekalan gula dan tepung gandum terputus atau naik harga, pemerintah
bolehlah menyalahkan pasaran antarabangsa kerana bahan-bahan itu
diimport.


Tetapi bagi minyak masak, kita adalah negara pengeksport utama minyak
sawit. Jadi apa alasan yang pemerintah hendak sajikan kali ini?


Apa pun alasannya, peristiwa-peristiwa seperti ini pastinyalah tidak
membantu pemerintah dan parti-partinya untuk menyediakan diri menghadapi
"tunjuk perasaan rakyat" (meminjam ungkapan Perdana Menteri) pada pilihan
raya umum nanti.


Skandal seks menteri, kenaikan harga dan kekurangan bekalan barangan
utama, kenaikan tarif dan tol, tunjuk perasaan yang berterusan dan
bantuan bencana alam yang bermasalah bukanlah ciri-ciri positif untuk
menghadapi "tunjuk perasaan rakyat" melalui peti undi. -
kadirjasin.blogspot.com


----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: