Jan 07, 08
Gara-gara kenakalan hawa nafsunya, Dr. Chua Soi Lek kini sudah tidak lagi
menjadi Menteri Kesihatan dan tidak juga jadi Naib Presiden MCA lagi. Dia
sudah jadi orang biasa.
Justeru klip video zinanya terdedah kepada umum, dia mengaku jantan dalam
klip video itu adalah dia. Setelah melihat reaksi telefon bimbitnya
termasuk SMS, dia mengambil tindakan menghukum dirinya dengan melepaskan
semua jawatan dalam kerajaan dan politik termasuk anggota Parlimen Labis.
Walaupun dia dilihat tenang dan bersahaja selepas melepaskan semua
kedudukannya, tetapi terdapat tanda-tanda terkilannya betapa pengakuan
dan permohonan maafnya kepada rakyat atas angkaranya tidak berapa lulus.
Polis pun membuat tindakan menyiasat dan sudah ada yang ditahan kerana
dikatakan terbabit dalam pendedahan perangai buruk pemimpin MCA dan
Barisan Nasional itu.
Adalah tugas politik terutama bahagian risikannya untuk memastikan
bagaimana rakaman itu boleh dibuat dan segala yang bersangkutan
dengannya. Penyiasatan itu tentunya untuk kerja rahsia negara dan untuk
kepentingan umum.
Barang-barang yang menjadi rahsia negara lazimnya tersimpan kemas dan
tidak wajar didedahkan kepada umum.
Justeru itu penyiasatan yang dikatakan untuk menjatuhkan pemimpin
tidak begitu kena.
Adalah benar Soi Lek pada 1 Januari adalah seorang pemimpin. Dia menteri
dan dia Naib Presiden MCA. Pendedahan VCD itu telah menjatuhkannya
sebagai seorang pemimpin.
Apa jua tujuan pengedaran VCD itu, yang jelas ia telah mendedahkan
perangai buruk seorang menteri dan pemimpin negara.
Betapa baik pun seorang pemimpin, tetapi dia melakukan kesalahan berzina,
sekalipun sekadar sekali, dia telah melakukan dosa besar. Bagi penganut
Islam dosa besar ini ada cara dan kaedah pengadilannya. Tidak terlepas
begitu saja sekalipun mengaku salah.
Bagi bukan Islam konsep pahala dan dosa tidak jelas. Tetapi zina tetap
satu kesalahan terkutuk bagi semua agama. Jika hukum zina tidak berkuat
kuasa di semua negara maju sekarang, bukan kerana ia bukan satu
kesalahan, tetapi kerana tidak diketahui siapa antara anggota masyarakat
itu yang tidak berzina. Antara ibu bapa yang ada sekarang, yang mana yang
tidak pernah berzina? Zina jadi budaya atas nama seks bebas.
Bagi setiap agama samawi yang bertolak dari agama yang ditegakkan oleh
Nabi Ibrahim a.s. â" Islam, Kristian dan Yahudi - zina adalah kerja
terkutuk dan tetap dikutuk. Ia adalah kelakuan orang yang runtuh akhlak
atau orang tidak berakhlak.
Orang yang tidak berakhlak seperti ini tidak layak menjadi pemimpin dalam
apa bentuk jua. Bukan sekadar tidak layak jadi wakil rakyat dan jadi
menteri, jadi ketua kampung dan ahli JKKK pun tidak layak. Apa lagilah
menjadi perdana menteri, timbalan perdana menteri, gabenor dan raja.
Negara dan masyarakat akan jadi tidak bermaruah dan tidak berakhlak,
tidak barakah dan tidak bercahaya, apabila ia berpemimpinkan orang yang
pernah berzina yang tidak diketahui taubatnya.
Malaysia adalah sebuah negara Islam yang tidak menjalankan undang-undang
Islam disebabkan penduduknya berbilang agama dan budaya. Tetapi zina
adalah dikutuk oleh semua agama yang ada di Malaysia.
Semua raja tidak mahu ibunya, isterinya, kakak dan adiknya, anak
perempuannya ditiduri oleh jantan lain. Perdana Menteri dan
menteri-menteri juga begitu. Presiden MCA dan Presiden MIC juga tidak
mahu ibu mereka, isteri mereka, kakak dan adik mereka serta anak-anak
perempuan mereka digauli oleh jantan asing.
Kerana mereka tidak setuju dengan hubungan seks yang disebut zina itu,
maka mereka tidak boleh bersikap lunak terhadap kejadian zina seperti
yang dilakukan oleh Soi Lek.
Soi Lek mungkin orang baik dalam semua hal kecuali tentang betina.
Walaupun ia berlaku dengan seorang kawannya yang baik, tetapi dia berzina
dan ia melakukan hal yang terkutuk. Maka perbuatan terkutuknya apabila
diketahui mesti didedahkan.
Sama ada tujuannya dengki atau khianat atau mahu mencari untung atas pita
lucah atau apa jua, maka kejahatan Soi Lek sudah dapat didedahkan. Orang
yang tahu akan kecurangan Soi Lek patut membongkarnya. Bukan mudah untuk
membongkarnya. Islam memerlukan empat saksi yang adil. Angkara Soi Lek
sudah dirakamkan dalam VCD. Soi Lek mengaku kecurangannya.
Maka apa pun tujuan di sebalik pembuatan video itu, ia telah membongkar
kecurangan seorang menteri yang tidak bermoral. Mungkin ia usaha jahat
tetapi pembongkaran kecurangan menteri itu juga adalah kejayaan
antikecurangan.
Siapa lebih salah antara menteri yang curang akhlak dengan kesalahan
membuat dan mengedar VCD lucah?
Jika polis melakukan penyiasatan, biarkanlah sebagai satu kegiatan
penyiasatan inteligen, bukan kerana tujuan menghalang menjatuhkan
pemimpin. Maruah dan kecurangan pemimpin perlu dipantau. Yang tidak
ditemui bukti, tidaklah boleh diapa-apakan. Tetapi yang terbukti curang,
mengapa pula diratapi kecurangannya?
Orang yang mendedahkan kecurangan Soi Lek patut diberi hadiah. Kalau dia
ada melakukan jenayah lain, atas kegiatan itulah dia diadili. Tetapi
kecurangan Soi Lek tidak boleh dirasionalkan.
Perdana Menteri boleh dukacita kerana anggota kebinetnya terbukti curang.
Tetapi dia patut bersyukur kerana seorang tidak berakhlak dapat
dikeluarkan dari kabinet.- tajdid
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment