Wednesday, July 18, 2007

Perjuangan Dan Ketahanan Bangsa: Ke Arah Pembinaan Negara Yang Bermaruah

Perjuangan Dan Ketahanan Bangsa
Ke Arah Pembinaan Negara Yang Bermaruah

Gerakan ABIM lahir dengan idealisme membina generasi pimpinan yang
komited kepada perjuangan. Dalam zaman yang berbeza sekarang, sejauh
manakah gerakan muda dapat meneruskan perjuangan itu. Dr Siddiq Fadhil
memberi ramuan untuk memugar idealisme perjuangan membina generasi
pemimpin.

Survival sesuatu gerakan bergantung kepada penyesuaian diri dengan
perubahan. Kegagalan untuk menyesuaikan diri bermakna menempah maut.
Memang kita harus berubah tetapi bukan dalam semua hal. Dalam hal yang
tertentu kita perlu beristiqamah.

Kita adalah umat yang mempunyai misi. Kita mempunyai tanggungjawab
menyebarkan risalah. Risalah kita adalah risalah global kerana risalah
Muhammad kepada manusia seluruhnya, kepada yang hitam dan yang putih,
yang menghuni puncak gunung dan mendiami dasar laut. Tidak ada ideologi
atau kefahaman di dunia ini yang sudah mempunyai global sekuat itu.
Beroperasi di mana-mana sahaja, ke Bosnia, Uzbekistan dan lain-lain.

Negara Islam tidak ada pemisahan sempadan. Negara Islam itu ialah setiap
inci bumi yang disebut kalimat Allah. Itulah yang dinamakan watan Islami.

Al-Quran juga menjelaskan bahawa manusia itu bersuku-suku dan berbangsa
bangsa. Firman Allah yang bermaksud: "Wahai manusia,
sesungguhnya Kami menciptakan kamu dan seorang laki-laki dan seorang
perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya
kamu saling kenal-mengenali" (al-Hujurat 13).

Ini merupakan sunnatullah, yang tidak akan berubah pola ciptaan Tuhan yang
telah menjadikan lelaki dan perempuan, bersuku-suku dan berbangsa-bangsa.
Sebagaimana manusia itu terdiri daripada lelaki dan perempuan, selagi
itulah manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku.

Oleh itu, kita tidak berasa berdosa dan bersalah apabila kita berbicara
tentang bangsa Melayu kerana bangsa Melayu juga ciptaan Tuhan. Kita tidak
berasa bersalah apabila memperkatakan pendaulatan bahasa Melayu. Tuhan
juga menciptakan bangsa dan bahasa itu sebagai tanda kekuasaannya.

KETAHANAN BANGSA

Kita berdiri dalam sejarah perkembangan pemikiran gerakan ini. Kita telah
ada sejak seawal-awalnya. Cuma istilah mungkin berbeza. Kita menggunakan
istilah umat dan bangsa, istilah khayra ummah dan bangsa
cemerlang. Sekiranya yang dimaksudkan itu ialah dasar-dasar al-Quran
dengan menjadikan nilai-nilai Islam sebagai wahana utama kebangkitan maka
tidak ada perbezaan dan perselisihan antara kita.

Kelahiran ABIM dilatari oleh sejarah penerusan perjuangan bagi membina
khayra ummah. Tema kebangkitan umat ini, memperbaiki nasib bangsa
sudah diperkatakan pada awal abad 20 sejak zaman kemunculan majalah
al-Manar yang dipelopori oleh Rashid Rida. Ketika itu, mereka sudah
membicarakan sebab-sebab kemunduran umat. Terdapat sebuah buku yang
berjudul Limadha Taakhara 'L -Muslimun wa limadha taqaddama hayruhum?
(Kenapa Kaum Muslimin Mundur dan Kenapa Orang lain Maju ?). Persoalan
buku ini dapat bertahan begitu lama. Jarang-jarang sekali buku-buku
sebegini yang boleh bertahan lama. Buku ini ditulis oleh Amir Shakib
Arsalan bertolak dari satu pertanyaan yang dikemukakan oleh orang Melayu
tentang kemunduran umat Islam iaitu surat yang ditulis oleh Basyuni'
'Imran dan Sambas, Borneo Bara.

Sejak awal abad ini kita telah menyaksikan para pemikir Islam
membincangkan isu ini dan bagaimana untuk kita bangkit dan kemunduran.
Oleh itu, di manakah erti ayat "Dan kemuliaan itu adalah bagi Allah,
rasul-Nya dan bagi sekelian orang yang beriman". (al-Munafiqun, 8). Erti
ayat ini bahawa kemuliaan adalah untuk Allah, Rasul dan orang mukmin.
Al-Quran menyebutkan "izzah" yang boleh ditakrifkan sebagai kecemerlangan
bangsa. Kita isikan konsep kecemerlangan bangsa dengan konsep "izzah"
sesuai dengan ayat ini.

Pejuang-pejuang Islam dahulu juga menggunakan istilah ini termasuk
Hassan al-Banna yang mengungkapkan konsep "wataniyyah izzah" iaitu
memperjuangan sejenis patriotisme untuk mencapai semula kemuliaan yang
telah hilang itu.

Gerakan kita bangkit di tengah kesinambungan ini. Kita harus mengetahui
bahawa gerakan kita berada di bawah rangkaian gerakan umat di
antara sekian banyak gerakan-gerakan di sepanjang sejarah. Di awal abad
20 ini, tidak banyak perubahan yang telah dilakukan. Perubahan yang
paling besar dalam abad ini ialah dunia Islam mencapai kemerdekaan.
Itulah pencapaian yang paling besar pada tahun 40-an dan 60-an dalam abad
ini. Rupa-rupanya tidak mudah. Walaupun hampir seratus tahun tetapi umat
Islam belum mencapai kejayaan. Di manakah 'izzah umat Islam sekarang?
Umat Islam dipermainkan dan dipersendakan. Seratus tahun punya perjuangan
belum lagi selesai.

RAMUAN UNTUK UMAT

Untuk itu, apakah ramuan yang mujarab untuk umat yang unggul. Rasanya
tidak ada jalan yang lain kecuali kembali melihat al-Quran, melihat
tentang sejarah jatuh bangun umat. Jika Allah menginginkan umat itu
bangkit, Allah mengutuskan Rasul dan menurunkan kitab hidayah. Diutuskan
pemimpin di kalangan rasul. Apabila wafat Nabi s.a.w tidak ada rasul yang
dibangkitkan. Tetapi yang dibangkitkan hanyalah pemimpin yang menghayati
hidayah dan memperjuangkan kitab hidayah itu.

Selagi ini tidak berlalu, selagi itulah tidak ada kebangkitan: kebangkitan
yang bernama 'izzah. Maju dan kaya dalam erti sekular materialistik memang
ada, tetapi syarat 'izzah seperti yang digambarkan oleh al-Quran ialah
pemimpin yang komited kepada hidayah, bukan pemimpin yang meminta upahan.
Firman Allah yang bermaksud: "Ikutilah orang tiada
meminta balasan kepadamu dan mereka adalah orang-orang yang mendapat
petunjuk". (Yaasin, 21)

Kepimpinan yang tidak meminta upah, yang tidak ada kepentingan diri
sama ada kepentingan ekonomi atau kepentingan glamour peribadi terjun ke
gelanggang menawarkan diri kerana merasakan bertanggungjawab dalam
memikul amanat dakwah. Adakah kita umat Islam mempunyai pemimpin seperti
itu. Kalau tidak, kita tidak dapat untuk bangun mencapai 'izzah tersebut.

Gerakan ABIM lahir dengan idealisme itu: idealisme membina generasi
pemimpin yang komited kepada perjuangan, yang tidak meminta upah, yang
tidak ada kepentingan peribadi, bukan berebut kuasa dan tampak
pemerintahan dengan niat bisnes. Kita tidak percaya pemimpin sebegitu
dapat membawa kepada 'izzah. Kita melatih kepimpinan yang terjun untuk
berkorban, bukan mengorban. Kita tampil dengan misi tersebut.

Seperkara yang membimbangkan kita ialah neofeudalisme iaitu kepimpinan
yang hampir mutlak: kebergantungan yang berlebihan kepada pemimpin sampai
tidak berani membuat apa-apa sebelum mendapat perkenan dan
atasan, terlalu takut kepada atasan, terlalu memfokus kepada pemimpin
atasan dan membudayakan upacara menyambut pemimpin dengan majlis
warna-warni.

Wujud suasana kebergantungan kepada pemimpin sehingga tidak ada yang
berani berkata: "Tidak!", inilah neofeudalisme yang menyebabkan orang
hilang kepercayaan kepada diri sendiri yang akan mengakibatkan tumbuhnya
jiwa hamba.

Sikap kebergantungan yang berlebihan kepada pihak atasan itu akan
menyuburkan semula jiwa hamba yang diperangi selama ini oleh Dr.
Burhanudin al-Helmi dengan katanya: " Di atas Robohan Kota Melaka Kita
Dirikan Jiwa Merdeka". jiwa merdeka itu yang menjadikan kita umat yang
percaya diri. Dalam gerakan ABIM tidak ada gerakan orientasi jiwa hamba.
Gerakan kita mengamalkan semangat syura. Yang dinamakan syura itu ruang
untuk berbeda pendapat tanpa risiko.

HIDAYAH

Kebangkitan silam bertolak dari sini, jiwa merdeka. Jiwa merdeka lahir
daripada tawhid dan iman yang memberi keyakinan kepada seseorang
tentang harga diri, maruah dan percaya diri. Oleh itu, umat Islam walaupun
belum sempat mencapai kegemilangan material yang tinggi tetapi dapat
menakluk dunia, menakluki Rom dan Parsi. Kita mempunyai iman, hidayah dan
mempunyai sesuatu yang orang lain tidak ada. Parsi dan Rom mempunyai
bermacam-macam tetapi mereka tidak mempunyai satu yang sangat penting
iaitu hidayah.

Itulah yang disebut oleh Malik bin Nabi bahawa umat Islam perlu mempunyai
sikap Al-Iqna' dan Al-Iqtina'. AI-Iqtina' Islam, Imam, al-Quran
dan al-Sunnah. Ia merasa kaya kerana mempunyai perkara ini. Entahlah kalau
ada orang yang tidak merasa apa-apa walaupun sudah Islam, tidak merasa
kaya walaupun mempunyai al-Quran.

Saya yang sudah lebih 20 tahun dalam ABIM merasa kaya, merasa kaya
sungguh. Apabila pulang dan usrah berasa kaya dengan ilmu dan hidayah
yang diperolehi. Kita merasa puas, merasa bangga dan merasa kaya dengan
memiliki petunjuk al-Quran dan al-sunnah. Dengan memiliki itu, kita tidak
merasa rendah diri untuk berdepan dengan sesiapa pun.

Berdepan dengan orang yang paling kaya di dunia pun, kita tidak merasa
berkurangan apa-apa sebab mereka tidak dapat membeli dan menukar
Islam, Iman dan Hidayah dan kita. Sebab itulah; generasi pertama Islam
memasuki Rom dan Parsi tanpa berasa rendah diri malahan mereka berkata:
"kami datang untuk menyelamatkan kamu".

Rabiy bin Amir apabila bertemu dengan Rustam ketua panglima Parsi, beliau
berkata: "Kami datang kerana Allah memerintahkan kami untuk membebaskan
manusia daripada mengabdikan diri selain kepada Allah, dan kezaliman
agama kamu kepada keadilan Islam".

Itulah umat yang mempunyal misi dan mempunyai al-Iqtina'.

Al-Iqna' bermakna mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk menyakinkan orang
tentang kebaikan apa yang kita lakukan. Jika ini ada pada seorang Muslim
ia sanggup melakukan apa saja tanpa memikir untung rugi duniawi, malahan
mempunyai semangat pengorbanan yang tinggi. Idealisme perjuangan ini yang
kita inginkan, yang kita bina dalam sejarah perkembangan kita dan dekad ke
dekad. Bukan setiap hari mengira keuntungan duniawi. Inilah yang
membimbangkan generasi awal ABIM sekarang ini. Anda dilahirkan dalam
kedaan zaman ekonomi yang semakin rancak. Dikhuatirkan kita tidak dapat
mengimbangi antara amanah sejarah kita untuk membela golongan yang lemah.

Sesungguhnya nama-nama yang abadi dalam sejarah ialah orang-orang
yang berkorban untuk memperjuangkan idealisme perjuangan seperti Imam
Syafie, Imam Ahmad Imam Abu Hanifah dan ibnu Taimiyyah yang diseksa dan
dipenjara. Orang-orang seperti ini namanya kekal dalam sejarah sementara
orang yang menyeksa dan memenjara mereka habis begitu sahaja. Akhirnya
orang yang setia kepada idealisme yang betul-betul manusia. Kehadirannya
ke dunia ini mempunyai erti dan makna.

Kalau sekiranya setiap hal kita mengira untung rugi duitnya, maka tidak
jadi perjuangan seperti itu. Kita harus percaya keberkatan daripada
amal-amal yang tulus ikhlas kepada Allah, yang hanya Tuhan sahaja yang
tahu. Budaya ini harus disuburkan dalam ABIM.

Saya percaya antara rahsia kejayaan ABIM dalam mengharungi pelbagai
cabaran sehingga saat ini ialah adanya keberkatan daripada llahi. Adanya
amal-amal yang diikhlaskan kepada Allah, tanpa meminta upah, tanpa
meminta dihargai, tanpa minta dicatat dan tanpa minta diberi sijil.
Amal-amal yang diniatkan tulus hanya untuk Allah.

Sekretariat ABIM Pusat
Anjung Rahmat
Batu 6, Jalan Gombak
53100 Kuala Lumpur

Tel: 603-6188 0300
Fax: 603-6189 6700

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: