Ahmad Lutfi Othman, Jan 15, 07
Empat tahun lalu, apabila Anwar Ibrahim dipilih perwakilan Umno sebagai
Timbalan Presiden, selepas penyandang Ghafar Baba yang hanya mendapat 7
pencalonan menarik diri, saya rasa pengganti Dr Mahathir Mohamad
sudahpun dikenal pasti. Hatta jika dibandingkan dengan regu 2M pada
1981, team Mahathir-Anwar dirasa lebih padu dan mantap.
Mahathir sudah kehilangan dua timbalan, Ghafar dan sebelumnya Musa Hitam,
tentulah kali ini Anwar bernasib baik bukan kerana kedua-duanya
berkongsi idealisme dan angan-angan yang sama, tetapi lebih memikirkan
hayat Mahathir dan lamanya era pemerintahan beliau. Kita pun tak dapat
bayangkan bagaimana Musa boleh kekal sabar sebagai timbalan Mahathir
selama 22 tahun jika beliau tidak meletakkan jawatan pada 1986.
Bagaimanapun ketika Anwar dimasyhurkan sebagai Timbalan Presiden Umno
secara rasmi pada 4 November 1993, sudah ada gosip mengatakan,
"tengoklah, dalam masa 18 bulan, Mahathir pun akan dilanggar Anwar".
Dan dalam tempoh itu, saya sempat menulis dua buku politik popular
bertajuk, "Krisis Anwar-Mahathir" dan "Mengapa Perlu Anwar Lawan
Mahathir". Sambutannya boleh tahan juga, sampai ulang cetak, tapi ramai
peminat Anwar tidak senang dengan kandungan buku-buku itu kerana ia
seperti menggambarkan "kerakusan" Anwar untuk meraih jawatan lebih
tinggi dalam waktu singkat.
Saya yang juga editor majalah Tamadun turut menyinggung isu perselisihan
Mahathir-Anwar. Pihak KDN mengarahkan saya dan ketua pengarang
(sebenarnya pemilik) Tamadun, Muttaqin Amaluddin ke pejabat bahagian
penerbitannya, tidak jauh daripada pejabat kami, di bangunan Bank Arab
Malaysia.
Seorang pegawai bertugas memberi arahan lisan dan menegah saya daripada
terus "mengadu-domba" dua pemimpin utama kerajaan itu. Malahan Muttaqin,
di depan saya, diberi amaran: "Jika Tamadun terus menyiarkan
berita-berita spekulasi seumpama ini, yang akan menerima akibatnya
bukan Ahmad Lutfi, tapi awak, Muttaqin."
Tidak sampai setahun kemudian, krisis Mahathir-Anwar bukan saja menjadi
realiti, tetapi pertembungan mereka itu mencatat rekod kerana ia bukan
lagi semata-mata perselisihan politik seperti pernah berlaku antara
Mahathir dengan Musa dan Tengku Razaleigh, tetapi meleret-leret sehingga
segala lendir dan tilam diusung ke mahkamah, selain fenomena mata lebam
yang popular itu.
Apa yang berlaku seterusnya adalah rakaman sejarah yang mungkin tidak
dapat dilupakan, khususnya oleh masyarakat Melayu. Ia turut ditandai oleh
protes terbuka orang Melayu dalam pilihan raya 1999. Ada penganalisis
politik mengandaikan, dalam pilihan raya ke-11 itu, boleh dikatakan
daripada 10 orang Melayu, tujuh daripadanya tidak menyokong Umno. PAS dan
KeADILan melakukan kejutan bukan saja di kubu-kubu tradisi pembangkang
tetapi juga di Lembah Klang, misalnya Gombak, Shah Alam, Titiwangsa,
Lembah Pantai.
Abdullah Ahmad Badawi pula dilihat sebagai perdana menteri yang dilantik
secara kebetulan, bukan kerana ketokohan. Beliau mengambil masa agak lama
untuk melantik timbalannya, Najib Razak. Ramai menganggap Abdullah
terpaksa memilih anak perdana menteri kedua itu erana "dipaksa" Mahathir,
apabila nama Najib disebut sekurang-kurangnya dalam dua majlis berbeza
oleh Mahathir sebagai bakal timbalan perdana menteri. Mahathir dikritik
kerana bukan saja mahu memastikan siapa penggantinya, tetapi berusaha
meletakkan pengganti kepada penggantinya.
Bukan rahsia lagi bahawa Abdullah lebih selesa bersama tokoh selain Najib
untuk menjadi orang nombor duanya, malah nama Muhyiddin Yassin kerap
dikaitkan dengan Abdullah. Semasa Anwar menjadi TPM dulu pun, nama
Muhyiddin turut digandingkan sebagai bakal tokoh penting negara. Mungkin
rekod Najib yang berpaling tadah dalam pertarungan Team A dan Team B pada
April 1987 menyebabkan kesetiaannya mudah diragui, apatah lagi Abdullah
berada dalam Team B, bersama antara lain Shahrir Samad dan Rais Yatim.
Maknanya, meskipun ketokohan Najib dikatakan lebih terserlah daripada
nama-nama besar lain dalam Umno, namun ia tidak begitu serasi kalau mahu
digandingkan dengan Abdullah, dan dulunya Anwar. Najib mungkin sesuai
sebagai pewaris Mahathir dan ramai beranggapan Mahathir tersilap
percaturan apabila memilih Abdullah menggantikan Anwar, sedangkan Najib
merupakan naib presiden paling kanan ketika itu.
(Pada 7 Jun 2006, di pejabat Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya,
Mahathir mengakui beliau mungkin tersilap memilih Abdullah: "Selepas
memilih beliau sebagai pengganti saya, malah, beliau bukanlah pilihan
pertama, beliau pilihan kedua kerana beliau tidak mendapat undi terbanyak.
Najib yang dapat undi terbanyak." Pada pemilihan 1996, Abdullah berada
pada kedudukan ketiga sebagai naib presiden, didahului
Najib dan Muhammad Muhd Taib. Apa pun ketika Almarhum Tun Hussein Onn
memilih Mahathir sebagai timbalannya selepas Tun Abdul Razak meninggal
dunia, Mahathir juga merupakan naib presiden Umno pada kedudukan yang
sama dengan Abdullah, ditinggalkan Tengku Razaleigh Hamzah dan Ghafar
Baba.)
Kalau regu Mahathir-Anwar yang dilihat umpama pinang dibelah dua,
sama-sama bantu-membantu satu sama lain sejak zaman Anwar mengetuai
gerakan pelajar lagi, kemudiannya dipinang Mahathir dengan karpet merah
ke dalam Umno meskipun ramai ahli MT Umno membantah, tetapi akhirnya
berantakan juga, apatah lagi team Abdullah-Najib yang hanya berpasangan
selepas "kahwin paksa"!
Najib mungkin mengharapkan tuah menyebelahinya kerana tokoh-tokoh lain
telah dapat digerhanakannya. Sebagai menteri pertanian, Muhyiddin
adalah menteri penting di bawah kabinet Abdullah yang begitu menekankan
dunia pertanian, tetapi prestasinya agak mengecewakan. Malah, jika
dilihat paparan tv, Najib lebih bergaya dan tangkas berbanding Abdullah.
Usia Najib yang relatif muda mungkin satu kelebihan, tetapi pengalaman
dalam Umno menunjukkan umur muda bukan pun satu aset yang bernilai.
Bukankah Anwar juga dilihat "muda-belia" ketika disingkirkan Mahathir?
Orang sudah membilang hari, sampai bila Najib boleh bertahan sebagai
orang no. 2 Abdullah. Sama ada Najib akan "kuis" Abdullah, atau Najib
terpaksa turun sendiri, dan tidak mustahil mengikuti jejak Anwar:
dipecat!
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment