Sunday, April 07, 2013

Temubual Mingguan Malaysia 7 April 2013



Nilai secara objektif

SEJAK Angkatan Belia Islam (ABIM) ditubuhkan pada 6 Ogos 1971, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu tidak dapat lari dari dikaitkan dengan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga sekarang.

Bagaimanapun tidak semua bekas pemimpin dan ahli ABIM itu masih setia menyokong malah terdapat beberapa nama besar antaranya Datuk Dr. Sidek Baba dan beberapa lagi yang bertindak meninggalkan Anwar setelah mengetahui siapa dirinya yang sebenar.

Bagi bekas Presiden ABIM keenam, DR. YUSRI MOHAMAD, beliau jelas kecewa setelah mengetahui siapa diri Anwar yang sebenar. Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyatakan adalah penting untuk kita membuat penilaian yang objektif dan bukan menyokong semberono.

"Bagi saya, adalah sangat menyesakkan dada jika terpaksa menyokong seseorang atau sesuatu yang saya yakini salah semata-mata kerana pertimbangan kepartian atau kelompok.

"Tetapi tidak dinafikan, Anwar punya aura tersendiri yang kadang-kadang mengelabui seseorang daripada menilai beliau secara objektif," katanya.

MINGGUAN: Walaupun Dr. bekas Presiden ABIM tetapi agak kritikal dan kelihatan tidak bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sikap ini berbeza dengan pimpinan ABIM hari ini. Apa komen Dr.?

YUSRI: Pemerhatian ini benar. Memang saya telah beberapa kali sebelum ini secara terbuka dan tertutup menyatakan pendirian yang saya yang kritikal terhadap Anwar dan sikap untuk tidak mendokong beliau. Dan benar memang sikap ini berbeza dengan pendirian rasmi pimpinan ABIM sekarang yang sebenarnya hari ini terzahir dalam rangkaian tiga pertubuhan iaitu WADAH, ABIM dan PKPIM dengan WADAH, yang dipimpin oleh aktivis ABIM generasi awal ABIM, menjadi penentu dan pencorak utama sikap ABIM. Seperti kebanyakan aktivis ABIM, saya asalnya punya penghormatan dan simpati yang tinggi terhadap Anwar. Ketika itu kita mengenali Anwar melalui imej publiknya yang pada zahir meyakinkan. Hanya bermula selepas krisis 1998, barulah sisi-sisi lain diri beliau terbuka satu persatu yang mengubah persepsi saya terhadap beliau. Ketika beliau dipecat, saya sangat kuat simpati dan menganggap beliau sebagai mangsa kezaliman. Saya merasa terpanggil untuk turut bersama membela beliau dan menyahut seruan reformasi yang dilaungkan. Tetapi kemudiannya saya makin menjauhi beliau dan gerakannya apabila lebih mengenali sisi-sisi sebenar beliau. Proses menilai semula sikap saya terhadap beliau ini bukan mengambil masa sehari dua, ia melibatkan masa yang lama.

Antara perkara pertama yang menumpulkan minat saya untuk terus mendokong beliau ialah melihat sikap beliau terhadap konflik politik dalaman Parti Keadilan Nasional (ketika itu). Saya mendapati beliau turut menjadi faktor yang memburukkan lagi hal ini sedangkan sebagai tokoh utama beliau sepatutnya menjadi penyelesai. Ini tidak membayangkan kejujuran beliau dengan idealisme perjuangan parti. Kemudiannya, terutama ketika saya memimpin ABIM sekitar tahun 2005-2009, saya mendapati beliau secara konsisten mengambil sikap, langkah dan membuat kenyataan yang menimbulkan kekeliruan dan masalah berkaitan dengan soal-soal Islam dan juga kedudukan orang Melayu-Islam di negara kita. Sikapnya ini telah membuka pelbagai pintu fitnah dalam aspek ini dan telah menggegarkan tiang-tiang seri keutuhan negara-bangsa kita. Sebagai salah seorang pimpinan NGO Islam, saya dan rakan-rakan sangat merasai kesan-kesan budaya negatif ini yang mana beliau adalah antara arkitek utamanya.

Akhirnya, faktor utama yang mengubah sikap saya terhadap beliau adalah apabila saya secara jujur tidak lagi dapat mempertahankan tanggapan asal bahawa dia adalah mangsa konspirasi dalam kes-kes tuduhan moral terhadap beliau. Pelbagai maklumat dan pendedahan yang sampai ke pengetahuan saya menyebabkan saya tidak lagi yakin yang beliau bersih serta segala skandal yang dikaitkan dengan beliau adalah palsu. Sebelum kes Saiful lagi sebenarnya sudah timbul keraguan dalam diri saya berdasarkan beberapa maklumat yang ada tetapi ketika itu saya masih menggunakan alasan qazaf untuk menolak perasaan ragu yang timbul. Apabila timbul kes Saiful, pendirian ini tidak lagi dapat saya pertahankan. Maka saya menilai semula secara kritikal segala maklumat yang saya ada, di samping mengkaji secara lebih komprehensif sudut ini. Sesudah proses penilaian yang intensif dan komprehensif ini, yang mengambil masa juga, saya memuktamadkan pendirian saya bahawa Anwar adalah sosok yang sangat bermasalah kepada umat, bangsa dan negara dari pelbagai sudut.

Pada pandangan Dr. apakah sikap partisan kepada Anwar dan politik suatu langkah yang bijak bagi ABIM? Apakah lebih baik ABIM isytiharkan diri sebagai parti politik dan gerakan Islam?

YUSRI: Saya berpandangan bahawa tak semua orang dan semua organisasi perlu terjun secara langsung ke gelanggang politik. NGO dan Jemaah Islam seumpama ABIM ada peranannya yang tersendiri dalam bidang pendidikan, dakwah dan amar maaruf nahy mungkar yang tetap mustahak dalam pembinaan negara-bangsa. Pendirian non-partisan yang diperkenalkan oleh ABIM sangat sesuai dengan ajaran Islam yang melarang kita terlalu taksub dan menyokong melulu mana-mana individu ataupun pihak. Non-partisan membebaskan jiwa kita untuk menyokong atau menyanggah sesiapa sahaja berpandukan prinsip, with out fear or favour. Sikap inilah antara perkara yang menarik minat saya untuk menyertai ABIM asalnya. Bagi saya, adalah sangat menyesakkan dada jika terpaksa menyokong seseorang atau sesuatu yang saya yakini salah semata-mata kerana pertimbangan kepartian atau kelompok.

Oleh itu, jika seseorang itu mengambil sikap partisan terhadap Anwar sesudah mengenali segala sisi dirinya yang sebenar adalah langkah yang tidak boleh dipertahankan. Jika ia disebabkan oleh kejahilan dan kekeliruan yang berpanjangan, ia membayangkan kelemahan menilai dan kemalasan mengkaji pada diri seseorang. Mana kala jika disebabkan kepentingan diri, ketaksuban dan kebencian maka ia ada suatu hal yang lebih malang lagi. Tetapi tidak dinafikan, Anwar Ibrahim punya aura tersendiri yang kadang-kadang mengelabui seseorang daripada menilai beliau secara objektif. Situasi sebegini sering ada pada diri tokoh-tokoh politik dan agama yang punya karisma dan daya tarik tersendiri kalaupun jika hakikatnya mereka adalah individu yang bermasalah.

Seperti yang saudara sentuh tadi, ada yang menjadikan alasan-alasan Syariah seperti hukum qazaf dan larangan mengaibkan orang sebagai sebab untuk terus bersangka baik dengan Anwar Ibrahim. Oleh kerana latarbelakang akademik saudara ialah perundangan Syariah, boleh ulas mengenai perkara ini?

YUSRI: Ya, saya setuju bahawa di kalangan mereka yang beragama Islam, silap faham dalam soal-soal inilah antara faktor utama yang menyumbang kepada pendirian terus menyokong Anwar. Secara ringkas, terutamanya selepas timbulnya kes Saiful Bukhari Azlan dan malah sebenarnya sejak kes tuduhan liwat dengan bekas pemandunya, Azizan lagi, Anwar tidak boleh semata-mata berselindung di sebalik hukum qazaf. Qazaf hanya melindungi seseorang itu daripada tuduhan zina atau liwat jika ia datang daripada pihak ketiga. Qazaf tidak terpakai jika tuduhan itu datangnya daripada seseorang yang mendakwa sebagai mangsa seperti dalam dakwaan rogol, sumbang mahram ataupun gangguan seksual ditempat kerja terutamanya melibatkan majikan. Jika diteliti fakta kes, kedua-dua Saiful Bukhari Azlan dan Azizan adalah pekerja yang berada di bawah pengaruh Anwar sebagai majikan. Mereka bukannya orang asing dan hubungan antara mereka memungkinkan dakwaan itu benar. Dalam situasi sebegitu, syariah menuntut bahawa dakwaan mereka itu disiasat untuk menentukan kebenarannya. Manakala beban bukti dalam kes seumpama ini bukan lagi terhad kepada kesaksian (Syahadah) empat orang saksi tetapi mencakupi semua bentuk bukti-bukti lain yang diiktiraf oleh syarak termasuklah qarinah.

Jika dilihat bukti-bukti yang telah dibawa ke mahkamah dalam kes-kes yang melibatkan Anwar terbukti bahawa dakwaan-dakwaan terhadap beliau bukannya langsung tanpa asas. Cuma faktor-faktor sampingan seperti faktor teknikal yang setakat ini mengelakkan beliau daripada didapati bersalah oleh mahkamah. Kes Saiful Bukhari Azlan pula masih di peringkat rayuan. Bagi saya, segala fakta kes dan bukti-bukti yang dibawa ke mahkamah, dicampur dengan bahan-bahan yang didedahkan di tempat lain sudah cukup untuk menghilangkan kelayakan beliau untuk diangkat sebagai pemimpin. Walaupun belum cukup setakat hari ini, untuk mensabitkan beliau di mahkamah. Tentang soal aib-mengaib pula, adalah jelas terdapat di sana beberapa situasi yang merupakan pengecualian daripada hukum larangan mendedahkan aib seseorang dalam Islam seperti ketika mengkaji kelayakan seseorang sebagai calon suami ataupun isteri. Sudah tentu dalam proses menilai kelayakan seseorang untuk memimpin negara pengecualian ini lebih relevan dan perlu kerana akibatnya adalah lebih besar dan luas.

Sahabat baik saudara, Dr. Sidek Baba mengambil keputusan meninggalkan Anwar setelah hampir tiga tahun membuat kajian dalam usahanya mencari kebenaran dan membuat pendirian malah ramai tokoh-tokoh ABIM melakukan hal yang sama. Hairannya mengapa terdapat pemimpin ABIM dan WADAH yang masih kental dengan Anwar tidak bersedia mendengar, mengkaji dan menyelidik sedangkan sebahagian dari mereka adalah orang akademik?

YUSRI: Cikgu Sidek adalah sebenarnya adalah antara senior dan naqib saya dalam ABIM. Kami banyak bertukar-tukar pandangan dan maklumat termasuk dalam isu ini. Jadi memang saya faham benar kenapa beliau mengambil sikap tersebut. Dan benar bahawa sebenarnya ramai lagi tokoh-tokoh berlatar-belakangkan ABIM, yang senior mahupun yang muda, yang mempunyai pandangan yang sama. Adapun sikap rasmi WADAH dan ABIM memanglah suatu yang kami kesalkan dan antara puncanya, bagi saya, adalah keengganan untuk betul-betul menilai semua sudut pandangan dalam isu ini. Kegagalan menilai secara komprehensif isu ini bagi suatu pertubuhan seperti ABIM adalah amat malang dan tidak boleh dijustifikasi oleh apa-apa alasan.

Kami mendapat tahu ramai tokoh dan pemimpin ABIM akan bertanding dalam pilihan raya kali ini atas tiket pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat. Apakah pandangan saudara mengenai hal ini?

YUSRI: Saya menghormati minat dan kecenderungan mereka untuk terjun menyertai politik tetapi berharap agar jangan sampai ABIM terabai. Seperti saya sebutkan di awal tadi bahawa dalam agenda pembangunan umat dan negara, kita perlukan komponen NGO yang kuat dan efektif. Adapun jika benar dakwaan ramai mereka akan bertanding atas tiket PKR, saya berpandangan, berasaskan apa yang telah saya huraikan sebelum ini bahawa ini adalah pilihan yang silap.

Pertentangan yang terdapat di kalangan kelompok gerakan Islam dan juga parti politik Islam banyak didorong oleh keinginan berkuasa yang tinggi dan rasa kebencian dan dendam kesumat terhadap orang lain. Apakah ia sesuatu yang sihat ke arah perpaduan ummah?

YUSRI: Adalah sangat malang jika apa yang saudara sebutkan itu benar. Sepatutnya ahli politik berlatarbelakangkan Islam didorong pada setiap saat dan ketika oleh dorongan ubudiyyah, perhambaan diri kepada Allah. Merekalah yang perlu menegakkan politik berasaskan keikhlasan yang berpandukan ilmu yang benar. Merekalah yang sepatutnya mengajak rakan yang lain untuk tidak terlalu terpandu oleh emosi dan nafsu serta tunduk kepada ajaran agama walaupun di tengah-tengah kecamuk persaingan politik. Jika tidak penglibatan mereka dalam politik tidaklah akan membawa lebih kebaikan kepada umat.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13), menuntut umat Islam dan rakyat Malaysia membuat pilihan bijak berasaskan track-record kerajaan yang ada dan juga cita-cita Pakatan Rakyat untuk melakukan regime change. Apa pandangan saudara mengenai hal ini.

YUSRI: Bagi PRU-13 ini, sesudah menilai pesaing-pesaing yang ada di gelanggang, saya berpandangan mengekalkan kerajaan yang ada adalah pilihan yang lebih betul berasaskan ajaran Islam yang antara lain mengajar kita bahawa mengelakkan mudarat itu lebih perlu diutamakan berbanding cuba mencari maslahah. (Daf'u al-Mafasid Muqaddamun 'ala Jalbi al-Masalih) Islam juga mengajar kita untuk memilih pilihan yang lebih kurang mudaratnya bila menghadapi dua pilihan yang masing-masing ada kekurangan dan kemudaratan. (Irtikab Akhaffu Al-Dharrarayn). Adapun bagi masa mendatang, saya mendoakan dan mengharapkan munculnya pendekatan politik yang lebih strategik di antara parti-parti utama umat Islam serta lebih patriotik dan harmoni di antara parti-parti bukan umat Islam.

No comments: