Saturday, January 31, 2009

Hindraf: Anwar ingatkan jangan terpedaya dengan taktik Umno
Wan Nordin Wan Yaacob Wed Dec 05, 07 3:07:13 pm MYT
KUALA LUMPUR, 5 Dis (Hrkh) - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim menyatakan beliau tidak bersetuju dengan kenyataan agresif Badan Bertindak Hak Hindu (Hindraf), tetapi dalam masa yang sama menggesa kerajaan BN segera mengatasi masalah peminggiran golongan tertindas.
Ada beberapa pihak menyuarakan ketidaksenangan mereka terhadap kenyataan Perdana Menteri India, Manmohan Singh yang meluahkan keprihatinan beliau terhadap penindasan masyarakat India di Malaysia, katanya.
"Sewaktu di Mumbai, saya nyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri India yang prihatin terhadap kegelisahan masyarakat India di Malaysia tetapi juga melahirkan harapan agar beliau menekankan isu hak asasi seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar dalam blognya.
Menurut Anwar, akhbar Daily News & Analysis India jelas merakam kenyataan beliau, bahawa masyarakat Cina dan juga Melayu ditindas.
"Saya juga tegas menyatakan saya tidak bersetuju dengan kenyataan agresif HINDRAF, tetapi masalah peminggiran golongan tertindas harus ditangani segera," kata Anwar.
Anwar juga melahirkan rasa kecewanya dengan asakan yang dilakukan oleh media arus perdana berhubung kenyataan Anwar dalam isu Hindraf.
Katanya, begitu hebat sekali asakan media arus perdana ke atas beliau dan pembangkang lainnya.
Tetapi dalam masa yang sama, ruang untuk pembangkang dibisukan, dankenyataan diputarbelit untuk memuaskan nafsu pemerintah, kata Anwar.
Anwar berkata, beliau menyokong hak mereka menyuarakan bantahan secara aman.
Anwar juga berpendirian, isu komuniti India miskin dan terpinggir perlu ditangani bersama Melayu dan lain-lain kaum.
Tetapi kata Anwar secara jelas, sanggahan mereka (Hindraf) terhadap Agama Islam dan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan ditolak.
"Janganlah mudah kita terperangkap dengan taktik Umno dan media mereka," kata Anwar
"Sudah sampai masanya media arus perdana digasak," kata Anwar yang mahu semua pihak termasuk yang mempertikai kenyataannya mengenai Hindraf merujuk semula kenyataan asalnya itu.
Anwar telah mengeluarkan dua kenyataan sebelum dan selepas himpunan Hindraf. Ikuti dua kenyataan penuh beliau itu di bawah:
1. 21 Nov - Benarkan Himpunan 25 November
Kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia sewajarnya menyegerakan kelulusan permit membenarkan Hindraf menganjurkan perhimpunan sebagaimana dirancangan pada 25 November 2007.
Ini aadalah merupakan hak demokratik bagi seluruh rakyat Malaysia untuk menyatakan pendapat dan hak mereka secara aman.
Sebagaimana yang berlaku dalam perhimpunan BERSIH sebelum ini, sekiranya pihak polis sedia memberikan kerjasama, keselamatan dan perjalanan apa sahaja perhimpunan boleh terjamin.
Sebagai individu yang percaya akan prinsip keadilan untuk semua, saya tidak mempertikai hak menganjurkan perhimpunan aman tersebut.
Komuniti India telah sekian lama menderita dan adalah penting pada waktu ini untuk menghentikan segala bentuk penindasan senyap dan jurang kemiskinan semua bangsa.
Saya berharap agar perhimpunan ini akan mencapai matlamatnya untuk menjamin hak komuniti India sebagai rakyat Malaysia, dan adalah menjadi hak mereka untuk mendapatkan upaya sara hidup dan kualiti kehidupan seharian komuniti India seluruh Malaysia.
Saya kekal menyatakan pendirian saya untuk menuntut keadilan dan kesaksamaan seluruh rakyat Malaysia.
Kita perlu mengiktiraf pengorbanan rakan-rakan komuniti India seluruhnya yang telah berkhidmat kepada negara dengan jujur dan penuh dedikasi dalam pelbagai bidang.
2. 22 Nov - Himpunan Hindraf: Tumpu Pada Kelemahan Dasar BN
Saya menyokong hak Hindraf untuk berhimpun secara aman dan ingin mengulangi rayuan saya kepada Polis DiRaja Malaysia untuk memberikan permit agar perhimpunan mereka dapat berlangsung pada 25 November 2007.
Hak untuk berhimpun secara aman telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan Perhimpunan Aman Bersih telah membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat bertindak secara bertanggungjawab sesuai dengan amalan masyarakat madani.
Tetapi saya saya menyeru kepada Hindraf agar mereka mengambil pendekatan yang lebih sederhana dan bertanggungjawab di dalam menyuarakan ketidakpuashatian mereka, khususnya di dalam soal Perlembagaan, khususnya Perkara 153.
HINDRAF sepatutnya menumpukan perhatian mereka kepada kerajaan BN yang bertanggungjawab di atas salahguna kuasa yang telah menindas kaum India yang miskin, dan juga pada masa yang sama gagal menyelesaikan masalah semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, warna kulit ataupun agama.
Gerakan Hindraf menggambarkan masalah asas yang terus menular di negara kita dan membakar api perkauman yang hanya mengeruhkan lagi ketegangan kaum dan permusuhan sesama rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia terus komited untuk melaksanakan pembaharuan di negara ini mesti sedar bahawa pembangkang yang berwibawa adalah penting untuk Malaysia dan masanya telah tiba untuk menyokong pembangkang.
Parti-parti yang menyokong Reformasi mesti bekerjasama secara efektif, dan menekankan isu-isu bersama, terus bekerjsama dan mengelakkan menyalahkan kaum lain untuk masalah mereka.
Apabila kita berpecah, suara kita lemah. Tetapi bersatu, kita boleh hidup secara rukun dan aman damai di negara yang boleh kita banggakan bersama. -->

No comments: