Pada diri ini, kehadiran di Arafah (Wukuf) pada 9 Zulhijah 1426, memberi
kesempatan besar untuk muhasabah diri. Menangislah saya sepuas hati,
mengenang segala dosa dan kesilapan lalu. Hari Wukuf atau Hari Arafah
dikatakan saat seseorang hamba itu tersangat dekat dengan Tuhannya.
Mintalah keampunan-Nya dan berdoalah, semoga selepas haji, kita menjadi
hamba-Nya dalam pengertian sebenar-benarnya.
Keberangkatan dari Arafah ke Mudzalifah bermula selepas solat Asar. Saya
dan isteri terpilih untuk berangkat selepas Maghrib. Perjalanan
Arafah-Mudzalifah menguji ketahanan diri â" sama ada dari segi mental
dan fizikal. Apabila ribuan jemaah berhimpun, berlaku ketidak-tentuan
yang menguji keimanan dan kesabaran diri.
Bayangkan dalam masa mengerjakan manasik haji, masih ada jemaah
berebut-rebut, takut ketinggalan bas. Ada isteri yang sudah naik bas,
suaminya belum. Berlakulah kekecohan dan perselisihan.
Mudzalifah adalah tempat di mana jemaah berhenti sebentar untuk mengutip
batu-batu kecil untuk dilontar di jamrah kemudiannya. Mulai tahun 2005,
pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan sistem baru yang menghendaki
jemaah berada di situ selepas mereka keluar dari Arafah sehinggalah
keberangkatan sekali lagi ke Mina yang bermula selepas tengah malam.
Sebelum ini, bas dari Arafah berhenti sebentar di Arafah bagi membolehkan
jemaah mengutip batu, kemudian jemaah naik bas semula untuk meneruskan
perjalanan ke Mina.
Bagaimanapun, berdasarkan sistem baru ini, jemaah berada di sebuah kawasan
terbuka yang dipagar di Mudzalifah untuk mabit. Di situlah jemaah berehat,
berbaring berlantaikan tikar dan beratapkan langit. Sambil baring-baring,
sesekali sekala terbau najis binatang, mungkin pada siangnya tempat itu
menjadi persinggahan kumpulan unta.
Jika mahu tidur, tidurlah berbantalkan beg atau lengan. Jika mahu
bersandar, bersandarkanlah belakang isteri atau peluklah lutut sendiri,
sambil itu sedarlah diri betapa banyak dosa yang sudah dilakukan.
Suasana malam begitu dingin, menggigit hingga ke tulang. Hanya kepada
Allah tempat pergantungan pada malam itu, jadi perbanyakanlah solat dan
doa sekalipun diri berada dalam lautan manusia.
Berusahalah untuk menjaga wuduk kerana untuk memperbaharuinya atau ke
tandas, selain jaraknya yang jauh, terpaksa menempuh ribuan manusia,
kemudian beratur panjang. Bersabar dan terus bersabarlah sepanjang malam
itu.
Dalam keadaan sesak itu, untuk bergerak payah. Di depan orang, di belakang
orang, di kedua-dua sisi pun orang. Jadi untuk ketenangan diri, berzikir
dan terus berzikir sepanjang malam. Penat duduk, baring; penat baring,
berdiri sambil menguakkan anggota tubuh.
Pada malam yang dingin itu, akan terasalah seseorang itu akan kekerdilan
dirinya. Sedarlah, siapakah dirinya dalam lautan manusia itu. Semuanya
sama, yang lelaki berihram putih manakala perempuan berbungkus,
bertelekung seperti ketika bersolat.
Angin malam yang menyentuh diri dalam keadaan berihram (hanya dua kain
tidak berjahit membalut diri) begitu sejuk terasa. Rasanya sudah tidak
tahan berkeadaan begitu, tetapi keyakinan akan janji-Nya membantu
memantapkan diri.
Kebanyakan jemaah suami isteri. Jadi boleh ruangkan masa untuk makan
bersama (makanan ringkas seperti epal) dan berbual-bual, saling
ingat-mengingati antara satu sama lain. Semakin larut malam, suasana
semakin dingin. Kabus sudah kelihatan di udara. Jemaah terus mabit,
menunggu kedatangan bas untuk mengangkut mereka ke Mina. Sebelum
berlepas, jemaah sudah siap mengumpul batu-batu kecil dalam uncang
masing-masing.
Saya dan isteri bersyukur kerana giliran kami menaiki bas sebelum detik
tengah malam. Dengar khabar ada jemaah yang mendapat bas hampir subuh.
Ratusan bas bergerak perlahan-lahan, menyusuri laluan ke Mina di mana
jemaah akan ditempatkan di dalam khemah. Saya perhatikan ramai jemaah
negara lain seperti Pakistan dan India berjalan kaki saja dalam kegelapan
malam, menuju Mina.
Jemaah Malaysia seperti saya tidak selasak mereka. Baru sebahagian malam
berembun di Mudzalifah, ramai yang sebelum ini batuk-batuk dan selesema,
semakin parah sakit mereka. Senggal-senggal dan lenguh anggota usah
cerita.
Bersyukur kepada Ilahi, saya dan isteri tiba di perkhemahan Mina kira-kira
jam 3.00 pagi. Kami dikira sungguh bernasib baik kerana ada jemaah yang
tiba selepas subuh malah ada selepas zuhur. Di Mina, jemaah bermalam dua
atau tiga hari, selain bersiap-siap untuk melontar di jamrah.
Ketika berbaring dalam khemah di Mina, terbayang dalam kotak fikiran saya
akan kesukaran sesetengah jemaah dalam perjalanan Arafah-Mudzalifah-Mina
yang diceritakan oleh ibu saya ketika beliau menunaikan haji.
Katanya, antara masalah terbesar dihadapi jemaah veteran adalah berkaitan
buang air kecil dan besar. Bayangkan jika seseorang jemaah yang lemah
sistem perkumuhannya, bagaimana dia dapat bertahan sehingga
berbelas-belas jam dalam bas. Tiada apa yang dapat dilakukan, kecuali
berdoa dan berdoalah agar perkara mengaibkan diri tidak berlaku ketika
perjalanan yang amat sukar itu.
Demikian juga apabila berlaku kes kecemasan, seperti jemaah tiba-tiba
jatuh sakit kuat atau meninggal dunia dalam bas. Maka terpaksalah pesakit
dibantu oleh jemaah lain setakat yang mampu manakala jenazah terus dibawa
sehingga bas dapat keluar daripada kesesakan itu.
Demikianlah cabaran Mudzalifah yang perlu dilalui semua jemaah haji kerana
mabit di situ adalah salah satu wajib haji, tidak buat dengan sengaja
hukumnya berdosa tetapi tidaklah sehingga membatalkan haji, cuma kena
bayar denda (dam).
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
1 comment:
İndirmeden porno izle, en güzel olanıda buradaki brazzers porno sitesi sayesinde tamamını hd kalitesinde izlemek olacaktır.
Post a Comment