Friday, December 28, 2007

Hak berhimpun tidak boleh disekat Akta Polis

Dec 26, 07

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Hrkh) - Pakar undang-undang dan perlembagaan,
Profesor Abdul Aziz Bari menegaskan kerajaan tidak boleh marah jika ada
pihak yang menyifatkan kualiti demokrasi di negara ini sangat rendah.

Katanya, amalan demokrasi di negara lain membenarkan perhimpunan aman dan
kebebasan bersuara, berpersatuan di kalangan masyarakat sivilnya.


Tetapi di Malaysia, ia sebaliknya kerana kerajaan menutup ruang berhimpun
dengan menggunakan Akta Polis sebagai penghalang kepada hak yang
sebenarnya terjamin dalam perlembagaan, katanya semasa ditemuramah
Harakah baru-baru ini.


"Sepatutnya perhimpunan aman seperti anjuran Bersih tidak diganggu oleh
polis dan rekod gangguan ini sebenarnya telah lama berlaku; termasuk
ketika mahasiswa mengadakan demonstrasi di ibu negara pada Disember 1974
dahulu.


"Hak mengadakan himpunan aman itu adalah hak yang dijamin dalam negara
demokrasi. Ia bukan hak yang diberi atas dasar belas ihsan oleh
pemerintah."


"Sama ada isu atau rungutan itu wajar atau sebaliknya adalah soal lain
dan pihak polis bukan pihak yang sepatutnya diberi tanggung jawab untuk
menangani perhimpunan aman itu," tegasnya yang juga Pensyarah Kuliyyah
Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM.


Menurut Aziz, hak berhimpun terjamin dalam Perkara 10 Perlembagaan
Persekutuan dan ini menunjukkan bahawa hak ini bukan ihsan pihak berkuasa
kerana ia adalah hak yang penting yang dijamin oleh perlembagaan. - mks.

----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my

No comments: