Dalam beberapa hari lagi Ramadan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang
menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan
kedatangan Hari Raya Aidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah ˜Idul
Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.
Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadan, seseorang itu telah
memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang
mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan
bertadarus al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardu dan
tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan
juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.
Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci
bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah
yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak
memelihara fitrah selepas Ramadan, maka tidak mustahil fitrah dirinya
terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.
Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadan
dan berakhir dengan sambutan Aidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah
SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya
menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan supaya kamu
cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadan dan supaya kamu membesarkan Allah
dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan
supaya kamu bersyukur."
Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran
dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredai oleh Allah SWT, di
antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka,
bersedekah dan lain-lain lagi.
Kemuliaan Hari Raya
Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan
oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya.
Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya
sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.
Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat
185 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu mencukupkan
bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah
(bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar
kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."
Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi
Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada
malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata
hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang
yang kafir ingkar pada hari kiamat.
Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya
satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak
orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan
gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah
azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di
dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan.
Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan
kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan
seburuk-buruk balasan.
Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang
menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam
Tabrani r.a. yang bermaksud:
"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya
Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah
semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."
Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid
sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini
diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w.
Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa
sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan
Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh
Abu Hurairah r.a. maksudnya: Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan
Tahmid.
Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a.
maksudnya: Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan
juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.
Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan
malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya
kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.
Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap,
menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan
Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah
suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam
raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan,
filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana
tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih
sepanjang bulan Ramadan.
Aktiviti pagi raya
1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.
2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta
berwangi-wangian bagi orang lelaki.
3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka
atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang
dilalui sebelum menunaikan solat.
4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah
amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam
itu sendiri.
5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara
akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau
bacaan surah Yaasin.
6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara
dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang
lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira,
bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan
umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.
7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit
raya (sebagai amalan 'idkhal as-surur' iaitu menggembirakan orang lain
terutama kanak-kanak.) - mks.
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my
No comments:
Post a Comment