Kenyataan Media
PEJABAT PRESIDEN
PARTI ISLAM SE MALAYSIA (PAS)
318A, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur
Tel: 03-26925000 Faks: 03-26938399
To : All News Editors
From : Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir
Date : 3rd. January, 2008
KES DR CHUA SOI LEK TIDAK BERAKHIR
DENGAN PERLETAKKAN JAWATAN
PAS memandang serius isu pembabitan seorang Menteri Kabinet dalam perlakuan seks luar nikah yang dirakamkan dan diedarkan kepada orang-ramai dalam bentuk DVD. Sungguhpun Dato' Dr Chua Soi Lek telah pun mengumumkan perletakkan jawatannya semalam dan perletakkan jawatan itu diterima oleh Perdana Menteri, namun PAS merasakan tindakan tersebut sekadar suatu tindakan politik demi memelihara imej Barisan Nasional dalam menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Sesungguhnya perlakuan seks luar nikah bukan hanya bertentangan dengan Islam tetapi ia juga bercanggah dengan mana-mana anutan, kepercayaan, amalan dan budaya serta nilai moral yang dipegang oleh rakyat Malaysia. Pemimpin negara ini perlulah memiliki akhlak dan keperibadian yang baik dan sempurna sehingga boleh menjadi contoh dan ikutan rakyat jelata.
PAS merasakan sepatutnya Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional mengarahkan parti MCA agar mengambil tindakan disiplin terhadap Dr Chua. Perletakkan jawatannya yang lebih merupakan tindakan menyelamatkan imej dan kedudukan BN itu tidak bererti tanpa sebarang tindakan disiplin diambil terhadap seorang pemimpin bertaraf menteri cabinet seperti beliau. Ini bermakna Perdana Menteri dan BN bersekongkol dengan pemimpinnya yang memiliki masalah akhlak.
PAS juga memandang serius kenyataan Dr Chua semalam bahawa bukan semua yang duduk dalam kerajaan itu bersih, ini mencerminkan yang barisan kepimpinan kerajaan BN yang ada pada hari ini menghadapi krisis moral dan akhlak yang serius yang perlu diberi perhatian oleh rakyat khasnya apabila mereka membuat pemilihan dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.
Rakyat perlu pastikan yang mereka dipimpin oleh pemimpin yang bersih dan berakhlak mulia demi kesejahteraan dan keselamatan mereka dan negara yang tercinta ini.
3 Januari 2008
DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD HADI AWANG
PRESIDEN PAS
No comments:
Post a Comment