Sidang DUN Kedah: Bajet 2006 defisit RM19.7 juta
Thursday, November 17 2005
Di merata tempat BN akan menggunakan dakyah membawa kemajuan, termasuk
sekarang ini berjanji di hadapan rakyat Permatang Pasir, Kelantan tetapi
di Kedah sendiri, mana... Oleh HELMI KHALID
ALOR SETAR, 17 Nov (Hrkh)-Sekalipun sedang mengorak langkah sebagai sebuah
negeri maju lima tahun lagi, Belanjawan Kedah 2006 yang baru dibentangkan
Pemangku Menteri Besar Kedah, Dato' Mahdzir Khalid 15 Julai lalu
mencatatkan defisit sebanyak RM19, 794, 322.00.
Ia hanya kurang sekitar RM1 juta defisit berbanding belanjawan tahun 2005
iaitu sebanyak RM20,923,246. Bagi Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Haji
Azizan Abdul Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)
(PAS-Sungai Limau), tidak ada satu pun perkara baru dalam bajet kali ini.
"Apa yang saya nak ulas, defisit semua orang dah jangka, kalau tak
berani berhutang bak kata orang berniaga, macamana nak untung,
perkembangan mengenai Kedah Maju 2010 langsung tidak tercatat," komen
beliau sebaik sahaja selesai pembentangan Bajet 15 November lalu. Dalam
perbahasan bajet, Ustaz Azizan banyak menegur sikap pemimpin kerajaan
Barisan Nasional (BN) Kedah yang masih tidak berubah sejak negara
mencapai kemerdekaan. Misalnya, beliau memberi contoh di mulut pemimpin
kerajaan sentiasa terpacul negara dan Kedah bakal maju, bagaimanapun hujah
beliau dengan memberi contoh segmen Bersamamu terbitan sebuah stesyen TV
swasta mengiakan dakwaan beliau. "Dalam Bersamamu masih terdapat rakyat
yang tak makan nasi, makan siput babi, susah, menderita, ini semua bukti
BN gagal membela nasib rakyat," ujarnya.
Ucapan selama lebih sejam oleh beliau pada sesi pagi 16 November langsung
tidak 'diganggu' oleh mana-mana wakil BN. Begitu juga katanya, di
merata tempat BN akan menggunakan dakyah membawa kemajuan, termasuk
sekarang ini berjanji di hadapan rakyat Permatang Pasir, Kelantan.
"Kalau dah buat pembangunan buat apa nak dijanjikan lagi, ini sebagai
contoh masih belum banyak pembangunan yang dilaksanakan, hanya diucapkan
ketika BN tersepit menghadapi sesebuah pilihanraya," tegas Ustaz Azizan
lagi. Pembangunan Kedah yang tidak terancang Menurut Ustaz Azizan
lagi, beberapa projek mega di Kedah gagal menunjukkan ia adalah satu
perancangan yang rapi, hanya mencipta projek tanpa sebarang strategi.
"Saya mengambil contoh projek Kota Perdana di Bukit Kayu Hitam, Pekan
Danok di Selatan atau sempadan Thai maju, ramai, tetapi di sebelah
Malaysia, sunyi sepi, langsung tak ada !
daya tarikan.
"Pun begitu, nak buka lagi satu bandar sempadan di Durian Burung yang
diberi nama Kota Putra, dah siapkan jalanraya ke sana dari Kupang,
Baling, Kota Perdana belum berjaya dah nak bangunkan pula Kota Putra,
rancang macam mana ni?" soal beliau. Contoh kedua yang diutarakan
beliau adalah rancangan menjadikan Pulau Bunting (di Yan) sebagai sebuah
pelabuhan laut yang dianggap berdekatan dengan Taman Perindustrian Gurun.
"Waktu zaman Sanusi Joned (Tan Sri) kata nak buat tempat bakar arang
batu yang diimpot dari Australia kemudian disalurkan ke kawasan IMT-GT
(Indonesia,Malaysia, Thailang - Golden Triangle) melalui aliran sungai
milik MADA ke Bukit Kayu Hitam.
"Lepas itu kata pula nak jadikan Pulau Bunting pusat proses minyak mentah
yang diimpot dari Iran, proses di situ, salurkan ke Tok Bali, Kelantan
melalui paip bawah tanah, dari Tok Bali kapal dagang dari Korea, Taiwan
ambil dari sana, tetapi dua-dua tak jadi. "Bajet tahun ini Pemangku MB
sebut nak jadikan pelabuhan pula, ini perancangan yang tidak rapi, lepas
satu, satu, lepas ini kita tak tahu apa nak jadi pada Pulau Bunting,"
sambung beliau lagi. Beliau turut mempertikaikan kepentingan 1000 ekar
tanah sawah di kawasan Mergong, Alor Star yang diambil oleh kerajaan
untuk dijadikan zon perindustrian. "Sebelum ini ambil seluas 435 ekar
tanah pertanian di Jabi (Pokok Sena) sebagai tanah perindustrian,
malangnya tidak digunakan sepenuhnya di sana, bukannya jauh dari Alor
Star, sekarang nak ambil di Mergong pula, tanah pertanian semakin kurang,
tidak diganti, lama kelamaan ia akan terus berkurangan," kata Ustaz
Azizan. Projek pertanian tiada pasaran Selain itu beliau turut
menegur sikap acuh tak acuh kerajaan Kedah dalam memasarkan hasil
pertanian negeri ini. Tegas beliau, penanam padi, kelapa sawit dan
getah boleh dianggap berjaya kerana ada aliran yang baik untuk pemasaran
hasil pertanian tiga sektor itu, bagaimanapun penanam sayur, penternak
ikan, pegusaha kebun buah-buahan menemui jalan buntu.
"Kerajaan kata tanam, rakyat tanam, galakan tidak diberikan, sayur dah
hendak dijual, kerajaan tak bantu pasarkan, di mana petani di kampung nak
jual. "Sebelum ini buat projek ternak ikan dalam sangkar dalam sungai,
itu saya setuju, pasaran pun ok la, hari ini umum pula nak jadikan pusat
ternakan ikan hiasan, ikan ini manja, susah nak bela, nak jual lagi lepas
tu, mungkin akan terima nasib macam sayur tadi. Jangan ulangi insiden
Hospital Sungai Petani Sebagai Ketua Pembangkang Dun Kedah, Ustaz
Azizan juga menegur kelalaian yang berlaku hingga menimbulkan kerisauan
pelbagai pihak mengenai tahap mutu perkhidmatan Hospital Sungai Petani.
"Kes pertama bawak lari budak, katanya kurang waras ka, tak apa lah, kes
kedua tak pasti jantina, ini pelik sikit lah, harap ia jangan berulang.
"Kes di Hospital Yan, wanita berumur 28 tahun ini bersalin pada 8 Oktober
lalu, discaj 9 Oktober, 12 Oktober keluarga bawa semula wanita ini ke
Hospital Yan, katanya uri keluar tak habis, dia masuk wad pukul 10.00
pagi, wanita ini meninggal dunia pada jam 3.30 petang hari yang sama.
"Kalau kes itu serius kenapa tak dibawa ke Alor Star, ajal maut di tangan
Allah tetapi jika berpunca dari kelalaian ia memburukkan imej hospital
terbabit," kata beliau. Setahun penduduk Kampung Dulang tiada Masjid
Selepas setahun penduduk Kampung Dulang, Yan menunggu untuk menunaikan
solat Jumaat di kampung mereka sendiri namun ia masih menemui jalan
buntu. Kata Ustaz Azizan, pihak Jabatan Agama Islam mendakwa tanah
kawasan masjid itu masih belum diwakafkan, sedangkan jelas beliau tanah
itu telahpun diwakafkan oleh seorang hamba Allah, bagaimanapun sekarang,
hamba Allah itu telah pun meninggal dunia. "Inilah hasil buat kerja
lambat, waktu orang kampung panggil pihak pejabat agama dulu mereka tak
datang, sekarang nak selesaikan, mesti kena selesaikan secepat mungkin,"
desak beliau. Sijil Insaniah Illegal! Pendedahan kemungkinan sijil
yang dimiliki pelajar Institut
Agama Islam Kedah (Insaniah) adalah tidak sah di sisi undang-undang oleh
Ustaz Azizan membuka mata ahli-ahli Dun Kedah.
Ini ekoran pengumuman Pemangku MB Kedah bahawa mulai Januari 2006 Insaniah
akan bergelar Kolej Universiti Insaniah (Kuin). "Zaman Tan Sri Osman
Aroff dia dah bentang Enakmen Insaniah, saya dan Ustaz Fadzil Noor lawan
sebab tak betul, langsung tak ada jawapan dari pihak kerajaan, akhirnya
Osman Aroff tarik balik pembentangan Enakmen itu. "Mai zaman Sanusi dia
bentang lulus terus, jadi saya nak persoalkan dulu Institut, sekarang
Kolej Universiti, Insaniah ni di bawah undang-undang mana ni? "Kampus
pun tak ada, dulu kata nak bina di Ruat (Yan), lepas itu kata di Gurun,
lepas Gurun pi sewa di Mergong, lepas tu pindah ke Kompleks Yayasan
Al-Bukhary (Alor Star), duduk sat keluar balik ke Mergong," katanya.
Tegas beliau, "kalau undang-undang pun tak jelas, kita bimbang satu hari
nanti, ada pihak yang mempertikaikan kesahihan sijil Insaniah, waktu itu
siapa yang mesti dipersalahkan."
----------------------------------------------------------------
This e-mail has been sent via JARING webmail at http://www.jaring.my