Monday, October 24, 2011

AZIZ BARI: ABIM TUNTUT PENYELESAIAN AKADEMIK


 

Isu surat tunjuk sebab yang ditujukan kepada Profesor Abdul Aziz bin Bari atas kenyataan beliau yang dikatakan bertentangan dengan kepentingan universiti mengundang polemik yang berpanjangan dalam masyarakat. Ini ditambah pula dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok yang boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia. UIAM telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara. UIAM juga mempunyai reputasi yang baik diperingkat antarabangsa. Sementara Professor Abdul Aziz bin Bari adalah seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di Malaysia. Beliau telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan.

ABIM berpandangan bahawa sebarang isu yang melibatkan pandangan , pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik. Maka sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik juga, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya. Seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah. Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

Sekiranya perkara ini terjadi, ABIM percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu. ABIM juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini. Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia academia di Malaysia. ABIM menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak.

AMIDI BIN ABDUL MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

__,_._,___